[VIDEO] Ingatkan bunyi televisyen, rupanya peniaga ayam panggang di Kota Samarahan lunyai dipukul rakan kongsi


  • Tular
  • Isnin, 08 Mei 2023

Tangkap layar pergaduhan dua orang lelaki dipercayai rakan kongsi peniagaan ayam panggang di Kota Samarahan, Sarawak pada Ahad.

KAWASAN tumpuan orang awam membeli ayam panggang di Kota Samarahan, Sarawak pada Ahad kecoh apabila beberapa peniaga bergaduh sesama sendiri.

Kejadian itu tular di aplikasi WhatsApp dan media sosial apabila orang awam merakam kejadian memuat naik video tersebut.

Menurut saksi kejadian yang hanya ingin dikenali sebagai Esther Nalang, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4.30 petang Ahad.

"Kejadian berlaku pada waktu petang, ketika itu saya saya sedang dalam perjalanan ke rumah selepas melakukan aktiviti riadah.

"Saya terdengar orang menjerit, ingatkan bunyi televisyen tetapi tak sangka pula orang bergaduh kat tepi van putih itu. Macam drama pun ada, bergaduh dalam keadaan hujan," katanya kepada Majoriti.

Tambah Esther lagi, dia tidak berani datang dekat ke lokasi kejadian dan hanya memerhati dari jauh.

"Saya tengok dari jauh sahaja sebab takut. Nampak dah lunyai sangat dia pukul kawan dia. Bayangkan saya yang dari jauh pun boleh dengar dia tampar kawan dia.

"Entah apa yang dia marah sangat padahal selama ini kalau lalu kawasan gerai itu mereka nampak okay sahaja. Kalau tak silap saya mereka itu rakan kongsi.

"Semalam (Ahad) nasib baik juga ada orang awam yang datang tegur dan saya rasa mereka berhenti bergaduh selepas mereka menyedari kehadiran orang ramai di situ," katanya.

Menurut Esther, kawasan tersebut bukanlah tempat berniaga memandangkan ia masih di kawasan perumahan.

"Sepatutnya bukan kawasan berniaga tetapi ada yang sudah 'set up' tempat di situ, penduduk okay sahaja tetapi bila sudah terjadi kes pergaduhan seperti ini minta dijauhkan.

"Saya harap mereka baik-baik sahaja selepas ini. Saya yang nampak, saya yang terasa sakit dipukul, ditumbuk dan ditampar sedemikian," katanya lagi.

Terdahulu, tular video berdurasi seminit lebih memaparkan dua orang individu bergaduh sesama sendiri sehingga menarik perhatian ramai.

Dalam video tersebut kelihatan seorang lelaki terbaring selepas dipukul dan ditendang individu lain di tepi sebuah van warna putih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram