GOLONGAN wanita terutama sekali mereka yang bergelar gadis amat terdedah menjadi sasaran gangguan lelaki gatal.
Manakan tidak, pantang sahaja nampak wanita duduk atau berjalan bersendirian, golongan miang ini akan datang mendekati dan lebih menakutkan jika lelaki berhidung belang ini cuba untuk menyentuh atau buat perkara bukan-bukan.
Terbaharu, tular satu video memaparkan seorang wanita di Kuching, Sarawak diganggu oleh seorang lelaki ketika sedang memandu di sebuah jalan raya.
Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya pada Ahad. Video tular tersebut sempat dirakam oleh mangsa selepas dia menyedari seorang penunggang motosikal mengekorinya dalam keadaan mencurigakan.
Video tular tersebut dimuat naik semula di laman Facebook Kenny Alvin pada hari yang sama.
"Hati-hati semua, seorang wanita diganggu individu yang tidak dikenali pada petang tadi. kejadian berlaku di Kuching. Tempat terpaksa dirahsiakan demi keselamatan mangsa. Waktu siang pun berani buat kerja. Minta dijauhkan terkena pada adik perempuan aku," katanya.
Jelas Kenny lagi, dia tidak mengenali mangsa dan hanya menerima video tersebut melalui WhatsApp.
"Aku tak kenal mangsa tapi kesal dengan sikap lelaki itu. Bayangkan kalau permpuan itu panik, sudah tentu boleh menyebabkan kemalangan," tulisnya lagi.
Menerusi video berdurasi 21 saat itu memaparkan suspek yang menunggang motodikal tanpa menggunakan topi keledar itu sedang mengekori rapat kereta mangsa.
Turut kedengaran suara wanita berkenaan sambil menangis meminta lelaki tersebut untuk tidak mengganggunya.
"Dari tadi dia menegekori saya. Tolong saya, ALLAHUAKBAR, tolong," katanya.
Lebih menakutkan lagi, lelaki berkenaan bertindak mencium pipi depan kenderaan wanita tersebut sebelum beredar dari tempat berkenaan.
Dalam perkembangan lain, pentadbir laman Facebook Sarawak Road Updates turut memuat naik video berkenaan namun memaklumkan suspek mempunyai masalah mental.
"Adik kepada suspek bagitahu saya abangnya bertindak sedemikian kerana mengalami masalah mental.
"Tetapi bagi saya agak pelik kenapa orang kurang waras dibiarkan merayau dengan menunggang motosikal seperti itu," tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mengecam tindakan lelaki berkenaan.
Senorita Stansia Sabbas berharap mangsa membuat laporan polis.
"Aku harap dia buat laporan polis. Ini perkara serius. Trauma pulak aku selepas tengok video ini," katanya.
Serene serene pula meninggalkan komen agak lawak tetapi sinis.
"Ciuman bibir tebal penuh perasaan. Tunggu polis 'kutip' kau nanti baru kau tahu perasaan cium dinding lokap, " tulisnya.
Sementara itu, John Sebastian berpendapat lelaki berkenaan tidak gila tetapi seperti sedang khayal mengambil barangan terlarang.
"Aku tak rasa di ini ada masalah mental, nampak macam dia tengah 'high' ambil barang (dadah). Bahaya betul, kalau aku jadi perempuan itu, aku langgar dulu," katanya— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram