SEORANG pemilik restoran terpaksa menanggung kerugian susulan stok bahan mentah ikan dan sotong di premisnya di Guar Chempedak, Yan, Kedah dicuri pada Khamis.
Kejadian yang dikatakan berlaku sekitar 6.30 pagi itu dipercayai melibatkan dua lelaki bermotosikal jenis Yamaha Y15 berwarna hitam.
Dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV), kegiatan dua individu terbabit tidak disedari mana-mana pihak dan kedua-duanya berjaya melarikan dua peti gabus dipercayai berisi bahan mentah tersebut.
Susulan kejadian terbabit, pemilik restoran berkenaan kemudiannya meminta bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengenali si pelaku.
Menawarkan habuan wang berjumlah RM500 bagi sesiapa yang tampil memberi bantuan dan berjaya menangkap kedua-dua pencuri tersebut, pemilik Restoran Wan Nasi Kukus Ayam Goreng itu berharap insiden terbabit mendapat perkongsian ramai di laman media.
Menurutnya, sekiranya ada pihak yang ternampak individu menjual ikan kembung dan sotong dalam kuantiti banyak, boleh menghubunginya segera di laman Facebook.
"Kalau ada sesiapa yang jual sotong dan ikan kembung dengan kuantiti yang banyak dan mencurigakan boleh hubungi saya segera, terima kasih," ujarnya.
Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung insiden itu setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membuat laporan di balai berhampiran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram