[VIDEO] Curi tabung masjid di Kelana Jaya lepas solat subuh, polis buru 3 suspek


  • 112
  • Rabu, 03 Mei 2023

Tangkap layar tiga suspek merompak tabung sebuah masjid di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.

TIGA suspek lelaki kini dalam buruan pihak polis susulan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan perbuatan individu terbabit merompak tabung sebuah masjid di Jalan SS7/8 Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor pada Isnin.

Gagal dihentikan mana-mana pihak, kejadian itu dipercayai dilakukan tanpa sebarang pengawasan daripada pihak masjid mahupun penduduk di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat daripada petugas masjid pada pukul 7.30 pagi.

"Menurut pengadu, dia menyedari tabung berkenaan tiada di perkarangan masjid selepas selesai menunaikan solat subuh bersama jemaah lain.

"Hasil semakan rakaman kamera CCTV di masjid berkenaan mendapati, terdapat tiga lelaki tidak dikenal pasti masuk ke dalam masjid terbabit.

"Mereka dilihat menggunakan pemotong besi sebelum melarikan tabung masjid berkenaan yang menyebabkan kerugian dianggarkan RM400," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 untuk tindakan lanjut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram