Kemenangan buat pejuang Bella, suara anak-anak OKU seluruh negara kedengaran hari ini — Ras Adiba


  • Massa
  • Rabu, 03 Mei 2023

Ras Adiba (duduk) ketika sidang media selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula Rabu.

HUKUMAN penjara 12 tahun yang dikenakan ke atas Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali adalah bukti kemenangan para pejuang yang bermati-matian mendapatkan keadilan buat seorang remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.

Presiden OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi berkata, Bella adalah wakil kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) di luar sana bahawa tidak akan ada pihak yang berani menindas mereka selepas ini.

"Hari ini adalah hari kemenangan kepada pejuang-pejuang untuk Bella. Saya bersyukur kita dapat lihat keadilan didengari.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mahkamah kerana mendengar segala hujah dengan telus dan ikhlas serta menerima pandangan semua.

"Selepas ini saya berharap masyarakat akan menjadi mata dan telinga kami untuk memastikan anak-anak OKU tidak dianayai seperti apa yang berlaku (terhadap Bella)," katanya ketika sidang media selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula Rabu.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Negara menegaskan, pihaknya akan terus memperjuangkan suara OKU di seluruh negara bagi memastikan golongan itu tidak dianayai sesuka hati.

Ras Adiba turut memohon agar semua pihak yang berkenaan untuk sentiasa bekerjasama bagi memastikan apa yang berlaku kepada Bella tidak akan terjadi kepada anak-anak OKU lain.

"Saya tahu ini bukan keadaan yang senang untuk semua, tetapi saya mohon kita belajar daripada apa yang berlaku untuk kita pastikan sejarah tidak berulang lagi.

"Selepas ini kita akan terus memperjuangkan anak-anak OKU yang lain kerana sepertimana kita ketahui banyak juga kes yang masih tergantung ketika ini," ujarnya.

Sebelum ini Majoriti melaporkan, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.

Keputusan dibuat Hakim Izralizam Sanusi selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Bagi pertuduhan pertama iaitu mengabaikan Bella, wanita berusia 31 tahun itu dihukum penjara selama 10 tahun, manakala kesalahan kedua, menganiaya sebanyak 12 tahun.

Sementara itu, mahkamah turut memerintahkan kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram