PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hanya mampu terdiam susulan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun setelah didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.
Keputusan dibuat Hakim Izralizam Sanusi selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Bagi pertuduhan pertama iaitu mengabaikan Bella, wanita berusia 31 tahun itu dihukum penjara selama 10 tahun, manakala kesalahan kedua iaitu menganiaya pula sebanyak 12 tahun.
Namun, mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan.
Pada 24 November 2022, Siti Bainun diperintahkan untuk membela diri berhubung pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella yang mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di ibu kota.
Bagaimanapun, Siti Bainun sebelum ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa kejadian Bella yang disuruh makan cili dan najis selain diikat, disimbah air panas serta ditekap dengan kuali panas tidak pernah berlaku.
Jelas Siti Bainun, tuduhan yang dibuat oleh bekas penghuni rumah kebajikan tersebut, Yasmin Nahar Mahmood terhadapnya semasa saksi pendakwaan kelima itu memberi keterangan di mahkamah adalah tidak benar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram