PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor bermula Rabu.
Keputusan itu dibuat Hakim Izralizam Sanusi setelah mahkamah menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara terhadap wanita berusia 31 tahun itu.
“Permohonan tertuduh untuk penggantungan ditolak, maka mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman penjara serta-merta,” katanya.
Majoriti sebelum ini melaporkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap wanita berusia 31 tahun itu selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.
Ia susulan Izralizam mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Bagi pertuduhan pertama iaitu mengabaikan Bella, wanita berusia 31 tahun itu dihukum penjara selama 10 tahun, manakala kesalahan kedua, menganiaya sebanyak 12 tahun.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram