Hukuman mati penganggur penggal kepala bapa, kerat 6 bahagian kekal


Sebelum ini, media melaporkan lelaki berkenaan membunuh bapanya dengan memenggal kepala dan mengerat badan mangsa kepada enam bahagian selepas berang ditegur ketika menghisap dadah di dalam rumah mereka.

MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya pada Isnin mengekalkan hukuman mati ke atas seorang penganggur kerana membunuh bapanya dengan memenggal kepala serta mengerat badan mangsa kepada enam bahagian dengan menggunakan parang, lima tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Hakim, Datuk Seri Kamaludin Md Said sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak rayuan You Poh Khoon, 57, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman dikenakan terhadapnya.

"Tidak ada apa-apa keterangan yang mematahkan keterangan saksi pendakwaan ke-15 (doktor psikiatri, Dr A. Ian Llyod), jadi keterangan itu wujud dan sepatutnya diterima.

"Oleh itu, mahkamah mendapati sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi (Ipoh) adalah selamat, rayuan perayu (Poh Khoon) ditolak. Perayu masih ada peluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan,” kata Hakim Kamaludin yang bersidang bersama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Azman Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Poh Khoon didakwa membunuh bapanya, You Su Kim ketika itu berumur 74 tahun, antara pukul 3 petang pada 8 Oktober 2018 hingga 10.30 pagi, 9 Oktober 2018, di dalam rumah di Khatan Baru Chemor, Ipoh, Perak, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Situation outside outside the Palace of Justice in Putrajaya during Datuk Seri Najib Tun Razak SRC final appeal hearing. — FAIHAN GHANI/The Star

Panel tiga hakim diketuai Hakim Kamaludin sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak rayuan You untuk mengetepikan sabitan dan hukuman dikenakan terhadapnya.

Pada 24 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Poh Khoon selepas didapati bersalah membunuh bapanya.

Sebelum ini, media melaporkan lelaki berkenaan membunuh bapanya dengan memenggal kepala dan mengerat badan mangsa kepada enam bahagian selepas berang ditegur ketika menghisap dadah di dalam rumah mereka.

Kepala warga emas itu ditanam di belakang rumah mereka, manakala bahagian badan pula dibuang ke lubang pembentungan sedalam 1.52 meter.

Terdahulu, peguam, Amir Faliq Mohamad Jamil yang mewakili perayu berhujah bahawa pihak pendakwaan telah memanggil doktor psikiatri (Ian Llyod) yang mengesahkan bahawa anak guamnya adalah siuman semasa kejadian.

"Bagaimanapun, doktor psikiatri itu di dalam keterangannya sendiri tidak menolak kebarangkalian bahawa berlakunya kegilaan sementara, sekiranya terdapat kebergantungan kepada dadah. Laporan psikiatri menunjukkan perayu positif methamphetamine dan amphetamine.

"Seramai enam saksi pendakwaan juga telah membuktikan bahawa perayu hilang kewarasan sementara semasa kejadian kerana pengambilan dadah,” kata peguam itu yang turut dibantu Siti Nor Syahidah Ismail dan Afina Abdul Hakim.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azmi Mashud berhujah bahawa semasa pemeriksaan perubatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, doktor psikiatri berkenaan mengesahkan bahawa semasa kejadian perayu tidak mengalami sebarang penyakit mental.

"Perayu pada masa kejadian adalah waras dan tahu akan sifat serta akibatnya kerana semasa kejadian perayu mampu memandu kereta sejauh lebih 100 kilometer dan memperincikan kejadian serta tindakan yang telah dilakukan ke atas si mati,” katanya.

Menurut Muhammad Azmi, keterangan enam saksi pendakwaan bahawa perayu tidak waras kerana mengambil dadah adalah melalui pemerhatian mereka sahaja dan hanya disokong melalui keterangan perayu yang pernah dihantar ke di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh pada 2017 untuk rawatan psikiatri.

"Semua saksi bukan pakar yang boleh menentukan keadaan mental perayu semasa kejadian berlaku dan semasa prosiding pembelaan, tiada saksi yang mematahkan keterangan doktor psikiatri bahawa perayu tidak waras semasa kejadian,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mahkamah, bunuh, bapa, penggal kepala, badan