[VIDEO] Siti Bainun bersalah 2 tuduhan abai dan aniaya Bella, boleh meringkuk 20 tahun dalam penjara


Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan mengabai dan menganiaya Bella. — Bernama

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu memutuskan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.

Keputusan itu diputuskan Hakim Izralizam Sanusi selepas wanita berusia 31 tahun itu didapati gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding masih lagi berlangsung ketika ini dan pihak mahkamah akan memutuskan hukuman selepas pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan dan rayuan.

Sebelum ini, Siti Bainun memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa kejadian Bella yang disuruh makan cili dan najis selain diikat, disimbah air panas serta ditekap dengan kuali panas tidak pernah berlaku.

Jelas Siti Bainun, tuduhan yang dibuat oleh bekas penghuni rumah kebajikan tersebut, Yasmin Nahar Mahmood terhadapnya semasa saksi pendakwaan kelima itu memberi keterangan di mahkamah adalah tidak benar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram