Jamal Abdillah harap Zaki-Yamani terus jadi pasangan duo


  • Hiburan
  • Selasa, 11 Apr 2023

Jamal bakal tampil dengan dua buah lagu yang dinyanyikan bersama dua anaknya Zaki Yamani dan Yamani Abdillah bertajuk Rindu Di Hari Lebaran serta Tangan Yang Melambai.

PENYANYI yang terkenal dengan gelaran Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah menasihatkan dua anaknya, Zaki Yamani dan Yamani Abdillah agar masing-masing tidak bergerak secara solo dalam industri hiburan.

Sebaliknya, Jamal, 63, mengharapkan mereka kekal sebagai pasangan duo selepas bergelar juara program nyanyian realiti, Famili Duo musim kedua.

Kata pelantun lagu Penghujung Rindu itu, kedua-dua anaknya memiliki 'sindrom suara Jamal' yang kadangkala menyebabkan suara meraka kedengaran serupa dengan dirinya.

"Kadang-kadang orang kata susah nak bezakan suara anak-anak dengan suara saya. Cuma Zaki ada sedikit perbezaan kerana dia masih muda. Insya-ALLAH lama-lama orang dapat membezakan suara kami. Mereka membawa satu beban berat sebab suara mereka kedengaran sama dengan suara bapa.

majoriti2023 (71)

Yamani Abdillah (kiri) dan Zaki Yamani diharapkan dapat meneruskan kerjaya sebagai penyanyi duo berbanding bergerak solo oleh bapa mereka.

"Soal mencari identiti sendiri itu mereka sudah ada apabila bergabung dan membuat persembahan secara duo. Sekiranya mereka berpecah, maka akan timbul balik 'suara Jamal'. Mereka akan mendapat balik kata-kata begitu apabila orang mengatakan mereka suara sama dengan saya.

"Jadi saya menasihatkan kepada anak-anak agar terus bergabung sebagai penyanyi duo," katanya kepada Majoriti.

Jamal memberi reaksi begitu ketika ditanyakan tentang pandangannya sebagai penyanyi senior yang pada masa sama bapa kepada dua penyanyi sedang meningkat naik itu.

Beralih soal kerjaya, Jamal bakal muncul dengan dua lagu baharu duet bersama dua anaknya itu iaitu Rindu Di Hari Lebaran dan Tangan Yang Melambai.

"Beberapa bulan kebelakangan ini saya dengan mereka memang agak sibuk sikit dan kami akan muncul dengan single baharu. Satunya untuk lagu raya manakala sebuah lagi lagu berentak balada.

"Lagu ini lebih kepada mesej anak-anak yang merindukan kasih sayang bapa. Lebih kurang begitulah pengisiannya," terang Jamal.

WhatsApp Image 2023-04-10 at 4.51.18 PM

Jamal dan Datin Zai Izzati dijangka akan menyambut cahaya mata keempat mereka pada 14 April depan.

Lagu Tangan Yang Melambai ciptaan sepenuhnya oleh Ezra Kong diharapkan dapat menambat hati pendengar sekali gus mewarnai industri dengan kekuatan vokal tiga suara antara, Jamal, Yamani dan Zaki.

Untuk rekod, Zaki, 17, merupakan anak daripada hasil perkahwinan Jamal dengan Fatimaruzahrah Samad sementara Yamani Abdillah, 22, anak daripada perkongsian hidup dengan Intan Noraina Mohd Yusof.

Jamal yang mendirikan rumah tangga dengan Zai Izzati pada 1 April 2017 bakal menyambut kelahiran anak keempat mereka yang dijadualkan 14 April depan.

Mereka memiliki tiga cahaya mata, Nur Azura Yamani, 3, El Isaac Yamani, 2, dan Iskandar Rayyan Yamani, 1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram