Jangka aliran trafik tinggi, polis teruskan Op Lancar hingga cuti Hari Pekerja


  • 112
  • Jumaat, 28 Apr 2023

Op Lancar akan dilaksanakan bermula Jumaat ini hingga 1 Mei ini terutama di kawasan hotspot berlaku kesesakan aliran lalu lintas.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Op Lancar bermula pada Jumaat hingga Isnin ini bagi memastikan kelancaran aliran trafik, terutama di lebuh raya utama negara.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim berkata, PDRM menjangka pertambahan kenderaan yang ketara di atas jalan raya berlaku dalam tempoh berkenaan, susulan cuti persekolahan yang bakal berakhir dan cuti Hari Pekerja.

Beliau berkata, PDRM menjangkakan terdapat pertambahan aliran kenderaan bagi pengguna jalan raya dan lebuh raya utama seluruh negara memandangkan orang ramai masih dalam suasana berhari raya.

"Oleh itu, bagi melancarkan pergerakan pengguna jalan raya, Op Lancar akan dilaksanakan bermula Jumaat ini hingga 1 Mei ini terutama di kawasan hotspot berlaku kesesakan aliran lalu lintas.

"Selain itu, PDRM akan menempatkan petugas di lokasi yang dikenal pasti bagi memastikan aliran trafik lancar dan terkawal," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mat Kasim berkata, PDRM juga akan mengambil tindakan penyuraian kesesakan dengan mengaktifkan laluan smartlane di Lebuhraya Utara Selatan menerusi kerjasama dengan PLUS Berhad di beberapa lokasi.

"Lokasi itu ialah di persimpangan Port Dickson hingga persimpangan Seremban, persimpangan Senai Utara hingga persimpangan Kulai, Gua Tempurung ke Gopeng, Slim River ke Sungkai serta Rawang ke Sungai Buaya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram