[VIDEO] Tindakan pantas isteri selamatkan suami diserang 3 lelaki bertopeng di pelantar minyak Tanjung Langsat


  • 112
  • Khamis, 27 Apr 2023

Saiful menunjukkan lokasi kes rompakan berkumpulan di berhampiran Pelabuhan Tanjung Langsat dalam sidang akhbar di Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi.

PANGGILAN video bersama isteri berjaya menyelamatkan si suami dan rakannya yang diserang dalam kejadian rompakan di sebuah pelantar minyak di Pelabuhan Tanjung Langsat, Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.

Ketika kejadian, mangsa sedang membuat panggilan video kepada isterinya sebelum dia secara tiba-tiba diserang dari arah belakang oleh beberapa lelaki yang cuba mencuri kabel bawah air dari pelantar minyak berkenaan.

Tindakan isteri mangsa yang bertindak pantas menghubungi pihak berkuasa selepas mendapati skrin telefon suaminya menjadi gelap secara tiba-tiba membawa kepada penahanan empat lelaki.

Pemangku Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 10.30 malam Isnin yang mana mangsa, berumur 24 tahun sedang bertugas bersama rakannya di atas pelantar Aurora Producer 1 di kedudukan 0.7 batu nautika timur laut Jeti Pelabuhan Tanjung Langsat.

Difahamkan, pelantar minyak tersebut sedang diselenggara.

"Mangsa sedang membuat panggilan video bersama isterinya apabila dia tiba-tiba diserang dari belakang oleh tiga lelaki bertopeng yang menaiki pelantar.

"Mereka kemudiannya diugut dengan parang dan suspek kemudian mengikat kedua-dua lelaki itu sebelum meletakkan mereka di dalam kabin.

"Bimbang keadaan suaminya, wanita itu terus menghubungi talian kecemasan 999 dan pihak kita terus membuat pengesahan dengan pihak Lembaga Pelabuhan Johor dan mendapati memang terdapat pekerja di pelantar tersebut," katanya dalam sidang media di Zon Maritim Tanjung Sedili pada Rabu.

Saiful berkata, kedua-dua pengawal itu dapat membuka ikatan mereka dan menyembunyikan diri sementara menunggu pihak berkuasa tiba.

"Bot Perkasa 30 diarahkan ke lokasi serta tiba pada pukul 12.30 tengah malam dan menemukan sebuah bot gentian kaca bersama empat suspek yang berada di bawah pelantar terbabit dalam keadaan mencurigakan.

“Kesemua suspek yang pada awalnya berpura-pura sedang bekerja menarik kabel kemudian bertindak menenggelamkan bot untuk menghapuskan bukti sebelum berpaut pada tiang pelantar terbabit sebelum keletihan dan terjun ke laut.

Suspek berusia 27 hingga 47 tahun itu ditahan pada jam 4.35 pagi Selasa dan dibawa ke Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sedili untuk disoal siasat.

“Jumlah kerugian tidak dapat dianggarkan. Kami sedang menunggu laporan daripada pemilik pelantar minyak mengenai kerosakan yang dilakukan oleh suspek.

“Semakan latar belakang mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya sambil menambah kesemuanya direman sehingga 29 April.

Kabel yang disasarkan itu dikatakan bernilai tinggi dan APMM mengerahkan pasukan untuk mendapatkan semula bot yang karam itu sebagai bukti, tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram