Genjatan senjata 72 jam di Sudan, Malaysia guna saluran diplomatik bawa rakyat kita keluar


  • Berita
  • Selasa, 25 Apr 2023

Konflik bersenjata itu tercetus sejak dua minggu lalu antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF). — Agensi.

ANGKATAN Bersenjata Sudan (SAF) dan kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang bertelagah di Sudan bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama 72 jam bermula Selasa.

Memetik laporan media antarabangsa indianexpress.com, SAF berkata, Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi menjadi pengantara dalam gencatan senjata itu.

Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken berkata perbincangan selama dua hari itu berlangsung dalam suasana tegang apabila kedua-dua pihak bertelagah enggang akur dengan beberapa perjanjian gencatan senjata sementara sebelum ini.

Pertempuran antara SAF dan RSF tercetus sejak 15 April dan meragut sekurang-kurangnya 427 orang.

Ini menjejaskan hospital dan perkhidmatan lain serta menjadikan kawasan kediaman sebagai zon perang.

SUDAN-POLITICS

Orang awam masih terkandas di Sudan mengambil peluang untuk keluar dari kawasan konflik. — Agensi

Dalam pada itu, RSF turut mengesahkan bahawa mereka bersetuju dengan gencatan senjata yang akan bermula tengah malam ini untuk memudahkan operasi misi kemanusiaan dilakukan.

"Kami akan memberi komitmen penuh dalam usaha melaksanakan gencatan senjata penuh semasa tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian", kata RSF.

SAF turut memaklumkan perkara yang sama mengenai persefahaman yang dicapai dalam melaksanakan perjanjian gencatan senjata terbabit.

Gabungan kumpulan masyarakat sivil Sudan yang menjadi sebahagian daripada rundingan mengenai peralihan kepada demokrasi turut menyambut baik perkembangan tersebut.

Setiausaha Negara Antony Blinken ketika mengikuti rapat usaha memindahkan keluar petugas Kedutaan AS di Khartoum, Sudan

Setiausaha Negara Antony Blinken ketika mengikuti rapat usaha memindahkan keluar petugas Kedutaan AS di Khartoum, Sudan. — Agensi

Sementara itu, Malaysia sudah menghubungi pihak berkuasa di Sudan bagi memohon kelulusan lintas udara dan mendarat di negara berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata permohonan itu dibuat bagi proses membawa keluar rakyat Malaysia yang masih terkandas.

Katanya, Malaysia juga mempertimbang beberapa pilihan lain bagi memindahkan rakyat Malaysia dari negara bergolak itu.

"Kita sedang menggunakan saluran diplomatik pelbagai negara bagi menangani isu ini secara bersama.

"Usaha untuk berunding dengan pihak yang bertelagah bagi memberi laluan kepada usaha membawa keluar rakyat Malaysia terus berjalan," katanya memetik sebuah laporan media tempatan pada Ahad lalu.

Pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan RSF di Khartoum, Sudan pada Sabtu mencetuskan pergolakan politik dan menggugat keselamatan di negara itu. — Agensi

Seramai 32 rakyat Malaysia dipercayai masih terkandas di Sudan. — Agensi

Difahamkan, seramai 32 rakyat Malaysia dilaporkan berada di Sudan iaitu di tujuh daerah berbeza dengan dua daripada mereka dibawa keluar dan dipindahkan ke tempat selamat.

Dalam perkembangan sama, Jepun memindahkan 45 rakyatnya dan menutup sementara kedutaan mereka.

Perdana Menteri Fumio Kishida berkata, seramai 45 orang berlepas dari timur Sudan ke Djibouti dengan pesawat pengangkut C2 yang dihantar oleh tentera Jepun," katanya pada Selasa.

Beliau berkata, empat lagi warga Jepun juga dapat berpindah dari Sudan ke Djibouti dan Ethiopia dengan bantuan daripada Perancis dan organisasi antarabangsa.

Beberapa jam kemudian, Kishida menambah bahawa lapan orang Jepun lagi meninggalkan Sudan, juga dengan bantuan Perancis.

"Dengan ini, pemindahan semua warga Jepun yang berada di Khartoum dengan harapan untuk berpindah selewat-lewatnya semalam... termasuk anggota kedutaan, selesai," katanya kepada pemberita memetik laporan media antarabangsa GMA News Online. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram