[VIDEO] Wanita buat aksi berbahaya tahan kereta di Port Dickson, polis gesa saksi tampil buat laporan


  • Tular
  • Ahad, 23 Apr 2023

Tangkap layar perbuatan berbahaya seorang wanita menahan sebuah kenderaan di persimpangan lampu Isyarat di port Dickson.

TINDAKAN seorang wanita yang menahan sebuah kenderaan di sebuah persimpangan lampu isyarat pada Ahad bukan sahaja membahayakan dirinya tetapi turut menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Difahamkan kejadian itu berlaku di Port Dickson, Negeri Sembilan dan dirakam oleh pengguna jalan raya yang berada di lokasi kejadian pada Ahad.

Susulan daripada video tular tersebut, polis menggesa individu yang mempunyai maklumat kejadian supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson atau balai polis berdekatan bagi membuat laporan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superitendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihak polis masih belum menerima apa-apa laporan polis yang dibuat daripada individu berkenaan berhubung dengan insiden yang berlaku.

"Pihak polis Port Dickson terkesan satu video memaparkan seorang wanita menghalang sebuah kereta jenis Proton Wira yang sedang bergerak semasa di sebuah lampu isyarat pada pukul 9.43 pagi Ahad.

"Video berdurasi 33 saat dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter @bckupacc99.

"Sehubungan itu mereka yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambahnya lagi, kejadian itu berlaku di persimpangan lampu Isyarat Batu 1, Port Dickson.

"Perbuatan dan tingkah laku yang dilakukan oleh wanita tersebut boleh membahayakan diri sendiri serta mendatangkan kerisauan terhadap orang awam," katanya.

Mustafah turut menasihatkan orang awam supaya tidak menularkan video berkenaan yang boleh mendatangkan kegusaran awam dan menggugat ketenteraman awam.

"Penyebaran sedemikian adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram