[VIDEO] Baru nak minum air, lelaki berdepan detik cemas dilanggar kereta di Klang


  • Tular
  • Ahad, 23 Apr 2023

Tangkap layar seorang lelaki dilanggar sebuah kenderaan jenis Perodua Viva di depan deretan kedai di Klang pada Jumaat.

MALANG tidak berbau. Itulah ungkapan yang sesuai bagi menggambarkan situasi seorang lelaki selepas terlibat dalam satu kemalangan melibatkan dua kenderaan di depan deretan kedai di Persiaran Sultan Ibrahim, Klang, Selangor pada Jumaat.

Melalui satu video tular dimuat naik oleh Alvin menerusi aplikasi Telegram Info Semasa Official memaparkan lelaki malang tersebut keluar daripada sebuah kedai makanan dan menyimpan makanan yang dibelinya ke dalam kereta yang diparkir di tepi jalan sebelum dilanggar.

"This is Klang, sekelip mata boleh dilanggar begitu sahaja. Nak minum air pun kena," tulisnya.

Insiden kemalangan yang berlaku pada pukul 10.22 malam Jumaat itu berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan lain yang berada di lokasi kejadian.

Menerusi video berdurasi kurang seminit yang tular sejak Ahad, lelaki berkenaan dilihat membuka pintu belakang sebelah kanan kereta untuk menyimpan makanan yang dibungkus daripada kedai berhampiran.

Dia kemudiannya menutup pintu tersebut dan minum air yang dibungkus di bahagian belakang tepi keretanya sebelum dilanggar oleh sebuah kenderaan jenis Perodua Viva yang secara kebetulan ingin keluar ke arah jalan utama.

Menerusi video berkenaan, kereta Viva terbabit dilanggar oleh kenderaan lain yang dipandu laju sehingga menyebabkan pemandu hilang kawalan.

Impak daripada perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa terjatuh. Namun, nasib menyebelahinya kerana dipercayai tidak mengalami kecederaan serius.

Mangsa yang terlihat terjatuh kemudiannya dilihat bangun semula dan pergi ke tempat yang lebih selamat.

Dalam video tersebut, orang ramai turut dilihat mengerumuni tempat kejadian.

Tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian itu berlaku dan belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram