[VIDEO] Kanak-kanak tertinggal di Masjid Al-Wajdi Bukit Selambau, orang awam bantu buat 'live'


  • Tular
  • Ahad, 23 Apr 2023

Budak lelaki berkenaan ditemui di kawasan Masjid Al-Wajdi Bukit Selambau, Sungai Petani.

SEORANG kanak-kanak lelaki yang dipercayai tertinggal di Masjid Al-Wajdi Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah ditemui orang awam pada Ahad.

Melalui perkongsian Firdaus Henry Snap yang dibuat secara langsung melalui akaun Facebook berkata, kanak-kanak lelaki berkenaan ditemui di kawasan masjid berkenaan.

Dia turut menyeru orang ramai untuk berkongsi video berkenaan dengan harapan waris kanak-kanak tersebut menyedari kehilangan anak mereka.

Menurut Firdaus budak lelaki berbaju dan berseluar hitam itu hanya dikenali sebagai Aras dan berumur dalam lingkungan tujuh tahun.

"Nama budak ini Aras, katanya tinggal di Seberang Perai, Pulau Pinang. Nama ayah Harun dan ibunya pula Fatima," katanya.

Tambah Firdaus lagi, kanak-kanak tersebut berkemungkinan ditinggalkan selepas keluarga budak lelaki berkenaan berhenti seketika untuk pergi ke tandas.

"Aras naik kereta warna biru tapi saya tidak pasti jenis kenderaan keluarganya. Aku jumpa budak ini masa nak beli air tadi.

"Tertinggal keluarga dan tunggu keluarga dah lama dari pukul 1 lebih tadi. Tak banyak informasi yang saya ada setakat ini," katanya.

Firdaus turut menyangkal dakwaan sesetengah individu yang mengatakan budak lelaki tersebut anak warga asing.

"Ada kesan suntikan, orang tempatan. Warganegara Malaysia ini. Tolong kongsikan video ini agar ibubapanya ditemui," katanya sambil menenangkan kanak-kanak berkenaan.

Video tersebut turut memaparkan kanak-kanak berkenaan berada dalam keadaan ketakutan dan tidak banyak bercakap.

Difahamkan, budak lelaki itu dihantar ke Balai Polis Bukit Selambau untuk diambil tindakan lanjut.

Majoriti kini sedang cuba untuk menghubungi pihak berkuasa namun belum ada sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram