[VIDEO] Selamba merokok di stesen minyak, warganet kecam pemandu Exora pentingkan diri


  • Tular
  • Rabu, 19 Apr 2023

Tangkap layar seorang lelaki merokok di sebuah stesen minyak dipercayai di Perlis.

TINDAKAN seorang pemandu Proton Exora yang merokok di sebuah stesen minyak dipercayai di Perlis pada Isnin mengundang kecaman warganet.

Tenang menyalakan bahan tembakau ketika pemandu lain sedang mengisi petrol di lokasi berkenaan, perbuatan individu terbabit boleh mengundang bahaya bukan sahaja buat dirinya malah keseluruhan pengunjung di stesen minyak terbabit.

Dirakamkan menerusi kamera telefon pintar, video tersebut dikongsikan di laman Twitter dan hangat diperkatakan.

Tidak dihentikan mana-mana pihak, pemuda terbabit meneruskan perbuatan berbahaya itu sebelum si perakam kemudiannya beredar dari situ.

Salah seorang warganet di Twitter, ezzthedon berpendapat, tindakan itu satu perkara memalukan dan mementingkan diri sendiri.

"Pentingkan diri sendiri, langsung tak pedulikan keselamatan diri dan orang awam. Harap polis ambil tindakan segera terhadap si pelaku," katanya.

"Penat dah nak bagi pesanan pada orang kita untuk jaga keselamatan diri, malang tak berbau kalau ada kebakaran berlaku memang rentung la dia dalam kereta itu," ujar ChombieTanjung.

"Dah bosan hidup ke, kalau ya pun jangan libatkan semua orang, bahaya sebab bukan dia seorang je ada di stesen minyak itu," tambah aziqshah.

Dalam pada itu, kerajaan menetapkan undang-undang Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun terhadap mereka yang didapati merokok di kawasan stesen minyak.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kes itu setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram