SEORANG lelaki berusia 24 tahun dilaporkan melecur teruk di seluruh badan dipercayai cuba membakar dirinya di sebuah stesen minyak di Jalan Ibrahim, Segamat, Johor pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima laporan pada Isnin, memaklumkan seorang lelaki menyiram petrol dan membakar dirinya dengan pemetik api.
"Walaupun pemilik stesen minyak berkenaan berjaya memadamkan api dan menyelamatkan mangsa dengan menggunakan pemadam api, namun mangsa kemudiannya berlari ke arah Kilometer 185 Jalan Seremban - Johor Bahru dan cuba membunuh diri sekali lagi.
"Lelaki tersebut duduk di tengah jalan dan percubaannya gagal selepas pemandu lori yang melalui kawasan itu sempat memberhentikan kenderaannya.
"Bagaimanapun, sebuah kenderaan lain jenis Proton Wira gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar belakang lori tersebut sekali gus menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ahmad Zamry berkata, mangsa yang melecur seluruh badan dihantar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Segamat menggunakan ambulans.
"Pegawai perubatan hospital tersebut mengesahkan hampir 70 peratus badan mangsa terbakar.
"Siasatan awal keterangan mangsa mendapati dia bertindak sedemikian disebabkan mangsa gagal melepasi ujian ijazah undang-undang buat kali ketiga.
"Mangsa malu dengan ahli keluarganya lalu mengambil keputusan untuk membunuh diri," katanya.
Tambah Ahmad Zamry lagi, pihak polis masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti kesahihan maklumat tersebut.
"Pihak polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara selama setahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.
"Polis menyeru orang ramai agar tidak mengambil tindakan tidak waras apabila menghadapi sebarang tekanan jiwa dan dinasihatkan supaya mendapatkan kaunseling dengan pakar.
"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menyalurkan maklumat ke Pusat Kawalan Daerah Segamat di talian Hotline 07-9324222. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan