Penunggang warga emas maut dirempuh kereta di Pontian


  • 112
  • Rabu, 19 Apr 2023

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Pontian. — Bomba

SEORANG penunggang motosikal maut apabila terlibat dengan kemalangan jalan raya di Kilometer 11.5 Jalan Pontian - Kukup, Pontian, Johor pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohd. Shofee Tayib berkata, kemalangan tersebut melibatkan tiga buah kenderaan iaitu dua buah kereta dan sebuah motosikal.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan yang dipercayai berlaku pukul 9.55 malam Selasa itu berlaku apabila pemandu kereta dalam perjalanan dari arah Kukup menghala ke Pontian gagal mengawal kenderaannya.

"Kereta itu kemudian terbabas lalu terlanggar sebuah motosikal yang dinaiki mangsa dari laluan sama.

"Polis dapati lampu belakang motosikal tersebut juga dipercayai tidak berfungsi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Shofee lagi, pada masa sama, sebuah lagi kenderaan berasingan dari arah sama turut melanggar kereta yang diletakkan di bahu kiri jalan menyebabkan kereta tersebut masuk ke dalam parit kiri jalan.

"Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa seorang lelaki tempatan yang berumur 54 tahun mengalami kecederaan parah di kepala serta tangan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Manakala, pemandu serta penumpang kedua-dua kenderaan tersebut hanya mengalami cedera ringan dan dirawat di Hospital Pontian," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 5 tahun dan maksimum 10 tahun serta dengan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

Shofee turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan dan ikut had laju yang dibenarkan di sepanjang jalan.

"Kemalangan sebegini boleh dielakkan jika kita peka pada persekitaran dan pastikan pemanduan yang selamat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan