[VIDEO] Sengsara menjelang Aidilfitri, penduduk Seri Perak masih berpeluh angkara lif jahanam sejak tahun lepas


  • Massa
  • Selasa, 18 Apr 2023

Penduduk Perumahan Awam Seri Perak terpaksa menggunakan tangga untuk ke rumah masing-masing sejak tahun lepas gara-gara masalah lif rosak.

MASALAH lif rosak sudah tidak asing lagi dalam kalangan penghuni Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur.

Ia bukan sekadar menyebabkan saban hari penghuninya terpaksa bermandi peluh naik turun tangga bahkan golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas terpaksa 'merangkak' serta menahan sakit semata-mata untuk naik tangga pulang ke rumah.

Seorang penghuni, Endang Kartini Mohamad Guntor berkata, mereka sudah penat dengan keadaan lif rosak yang berulang kali dibaiki di perumahan bertingkat itu sejak setahun lalu.

"Lif rosak dari sebelum Ramadan dan kerap kali rosak dalam setahun. Sehari boleh dikatakan akan rosak dua atau tiga kali.

"Rosak pagi, tengahari elok dan sekitar pukul 3 petang akan rosak semula sampai tengah malam pukul 12 ke atas baru berfungsi.

"Penduduk selalunya akan menghubungi bahagian pengurusan lif tetapi ada masa panggilan tak berjawab," katanya kepada Majoriti.

Endang

Endang (kiri) bersama ibunya, Noresah Mat Ali.

Tambah Endang yang bekerja sebagai eksekutif akaun, penduduk kawasan berkenaan tiada pilihan lain kecuali hanya menggunakan tangga untuk turun naik dari rumah mereka kerana kemudahan tersebut kerap mengalami kerosakan.

"Masalah ini sudah menjadi bebanan kepada kehidupan kami. Terutama untuk warga emas, kanak-kanak dan pelajar yang terpaksa turun naik tangga setiap hari.

"Bayangkan saya yang duduk di tingkat 16 terpaksa turun naik tangga setiap hari," luahnya.

Tambah wanita berusia 33 tahun itu lagi, ibunya yang merupakan seorang peniaga makanan terpaksa menutup kedainya buat sementara waktu kerana mengalami masalah kesihatan.

"Ibu saya berniaga sebelum ini tetapi sejak lif rosak, dia hanya duduk di rumah. Hal ini kerana dia tidak larat untuk turun naik tangga ke tingkat 16 setiap hari.

"Ibu terpaksa melupakan hasrat untuk berniaga kerana mengalami masalah sakit kaki sehingga menyukarkan ibu saya menjalani kehidupan seharian. Semuanya berpunca daripada turun naik tangga sehinggakan ibu terpaksa menggunakan tongkat," luahnya dengan nada yang kesal.

Menurut Endang lagi, keadaan lif yang 'nazak' itu juga menyukarkan mereka untuk membuang sampah setiap hari.

"Bila lif rosak, timbul pula isu sampah. Dulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada menyediakan sistem pembuangan sampah untuk setiap rumah.

"Setiap rumah ada pintu sampah yang disediakan di dapur, kami cuma perlu buang di tempat khas berkenaan.

"Tetapi DBKL dah tutup pintu sampah tersebut sekali gus membuatkan kami berasa terbeban untuk turun naik tangga setiap hari semata-mata untuk buang sampah," jelasnya.

Tidak menuding jari pada sebelah pihak semata-mata, Endang mengharapkan agar pihak DBKL memasang kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di dalam lif kerana kemudahan tersebut kerap rosak berkemungkinan berpunca daripada penduduk di kawasan tersebut sendiri.

"Melihat masalah lif kerap kali terjadi, saya cadangkan pihak DBKL pasang CCTV di dalam lif.

Fitri Kongsi

Warga emas, OKU dan ibu mengandung antara golongan paling terjejas kerana pergerakan terbatas untuk menaiki tangga. — Fitri

"Sebab CCTV yang ada sekarang tak berfungsi sebab dalam lif sentiasa ada penduduk yang kurang sivik didapati kencing dalam lif yang mungkin menjadi salah satu faktor lif kerap kali rosak," ujarnya.

Berkongsi masalah sama, seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Fitri turut melahirkan rasa kecewa dengan lif di kediaman itu yang bukan sahaja sering rosak tetapi juga tidak selamat untuk digunakan.

"Perumahan awam ini mempunyai 17 tingkat dan hanya ada dua lif usang yang boleh digunakan.

"Saya percaya bukan satu blok sahaja yang terkesan, hampir semua blok terkesan.

"Saya sendiri pernah berdepan detik cemas terperangkap dalam lif yang sesak," katanya.

WhatsApp Image 2023-04-18 at 07.41.20

Masalah kerosakan lif sering berlaku sehingga menyukarkan penduduk. — Fitri

Fitri turut mengeluh lif yang sering tergendala dan tidak berfungsi dengan baik menjejaskan kehidupan hariannya.

"Penat hari-hari macam ini. Saya duduk tingkat 16 dan kadang-kadang balik lewat malam. Nak angkat barang berniaga lagi.

"Sampai bila nak kena hadap? Saya faham mereka (DBKL) nak tukar lif kepada yang baharu tetapi sekurang-kurangnya pastikan satu lif berfungsi dengan baik," katanya.

Seperti Endang, Fitri turut berharap maslah lif tersebut dapat diselesaikan dengan segera agar penghuni Perumahan Awam Seri Perak dapat melakukan tugasan harian mereka seperti biasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram