SEBUAH treler yang mengalami masalah brek, mengundur secara tiba-tiba sebelum merempuh lapan buah kenderaan pada petang Isnin.
Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu berlaku di persimpangan lampu isyarat di Rawang Mutiara Business Centre, Rawang, Selangor.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Morni Mamat memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.04 petang.
"Treler yang membawa muatan pasir ini mengundur secara tiba-tiba dipercayai akibat masalah brek.
"Kenderaan itu mengundur secara perlahan dan melanggar lapan buah kenderaan yang berada di belakangnya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, menyedari pergerakan lori itu, semua mangsa dalam kenderaan bertindak keluar menyelamatkan diri.
"Tiada mangsa mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut. Pihak bomba membuat pemantauan di lokasi kejadian," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram