Dilarang bawa telefon bimbit semasa mesyuarat antara 4 pendekatan terkini Kerajaan Melaka


  • Primer
  • Rabu, 05 Apr 2023

Ab Rauf Yusoh dalam kenyataan mengemukakan empat ketetapan baharu buat kakitangan agensi kerajaan negeri Melaka. — Awani

KERAJAAN Negeri Melaka menguatkuasakan empat pendekatan baharu kepada kakitangan agensi kerajaan negeri itu termasuk memulakan setiap mesyuarat dengan bacaan surah al-Fatihah serta dilarang membawa masuk telefon bimbit ke dalam mesyuarat.

Arahan itu dikeluarkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dua lagi ketetapan baharu adalah memperdengarkan bacaan surah tersebut pada pukul 8 pagi, setiap hari Isnin hingga Jumaat dan memperdengarkan nyanyian lagu Negaraku dan lagu negeri Melaka Maju Jaya setiap Isnin.

“Ketetapan baharu ini juga adalah selari dengan penghayatan nilai-nilai Islam dalam perkhidmatan awam dan memupuk rasa kecintaan kepada negara dan bangsa.

“Setiap jabatan mahupun agensi di bawah kerajaan negeridiwajibkan untuk melaksanakan perkara-perkara beriku berkuat kuasa 4 April 2023.

Selain itu, arahan larangan membawa masuk telefon bimbit ke dalam mesyuarat adalah bagi memastikan kerahsiaan maklumat kerajaan.

Ujarnya, lebih-lebih lagi melibatkan mesyuarat rahsia atau sulit yang dipengerusikan oleh ketua menteri.

Sebelum ini, Ab. Rauf, 61, sah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka, kira-kira pukul 3.33 petang, Jumaat lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram