PEMANDU teksi, Noorazlan Ismail, 49, menafikan tuduhan sesetengah pihak bahawa dia terlibat dalam parti politik tertentu dalam menuntut pengeluaran caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) secara one-off untuk golongan terkesan sepertinya.
Dalam satu temu bual secara langsung di media sosial Facebook Syahrul Ema Rena Abu Samah ataupun lebih dikenali sebagai Ratu Naga, Noorazlan menjelaskan segala tuduhan dan kecaman yang dilemparkan kepadanya.
Temu bual itu turut disertai pemerhati politik Mohamad Shafiq Abdul Halim
Menurutnya, misi berjalan kaki sejauh 312 kilometer dari Tol Skudai, Johor hingga ke Istana Negara, Kuala Lumpur itu sememangnya benar-benar berlaku dan dilakukan tanpa sebarang arahan mahupun kerjasama dengan parti politik.
"Saya memang berjalan kaki sejauh 312 kilometer dari Skudai hingga ke Istana, jadi mana-mana pihak yang hentam kata saya ada tumpang ahli politik atau pemandu, tolong tunjukkan bukti beritahu mana pemandu itu berada.
"Saya mahukan pengeluaran KWSP dilakukan secara bersasar oleh kerajaan kerana terkesan dengan kos kelangsungan hidup yang semakin meningkat ketika ini.
"Saya bukan nak menunjukkan saya susah, tetapi misi ini untuk mewakili suara rakyat Malaysia yang memang dalam kesusahan dan memerlukan bantuan pengeluaran kwsp," ujarnya.
Mengulas lanjut soal isu keluarganya yang dikatakan tidak memberikan sokongan dan mengapa dia tidak kongsikan rakaman semasa perjalanan, Noorazlan tenang menjawab dakwaan itu.
"Ibu saya sendiri yang hantar ke Tol Skudai, jadi kenapa timbul pula isu kata keluarga saya malu, tak benarkan buat misi ini.
"Cumanya mereka tidak bersama saya dalam perjalanan kerana ia adalah misi saya, jadi mereka tidak perlu tanggung sama.
"Selepas saya melangkah ke Pagoh, banyak sangat talian masuk dari pihak tertentu dan saya risau ada pihak yang akan datang angkut saya bawa pulang, jadi sebab itu saya tidak muat naik lokasi semasa saya di laman sosial.
"Kalau terjadi perkara seperti itu maka gagal la usaha dan misi saya nak tunjuk kepada kerajaan yang saya dalam kesusahan, itu sebabnya saya tak tunjuk di mana saya berada bukan sebab lain," tambahnya.
Mengakhiri perbualannya, Noorazlan berharap agar semua pihak berhenti membuat spekulasi berkaitan misi dilakukan selain turut menegaskan tiada sebarang niat buruk yang cuba dilakukan apatah lagi dikaitakan dengan mana-mana parti politik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram