SEORANG pemandu mengalami kecederaan patah tangan akibat terkena serpihan kereta Perodua Myvi yang remuk selepas dua kenderaan dilaporkan bertembung di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Kuala Lumpur.
Jabatan Bomba dan Penyelamat dipanggil untuk menyelamatkan pemandu yang tersepit di belakang roda keretanya dan identiti individu terbabit tidak dapat dipastikan berikutan kemalangan terbabit.
Komander Operasi, Mohd Fakhrusy Syakirin Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada 12.32 tengah hari Isnin.
“Dua jentera bomba dan sebuah kenderaan perkhidmatan penyelamat perubatan kecemasan dihantar ke lokasi kejadian bersama 15 anggota.
“Mereka tiba di tempat kejadian dan mendapati sebuah kenderaan Perodua Myvi dan lori yang dalam perjalanan menghala ke Terminal Bersepadu Selatan telah terlibat dalam kemalangan, dengan pemandu kereta itu ditemui masih tersepit di dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, pihaknya berjaya mengeluarkan pemandu dari kenderaan itu pada pukul 1.11 tengah hari.
“Mangsa patah tangan kiri dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan lanjut,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram