PELAKON Amelia Henderson diperintahkan Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur membayar syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd, lebih RM200,000 disebabkan pelanggaran kontrak perjanjian tahun lalu.
Keputusan tersebut dibuat hadapan Hakim Zulqarnain apabila mendapati Amelia selaku defenden terlibat dalam pelanggaran terma kontrak dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.
Amelia yang hadir ke mahkamah bersama peguamnya, Wan Nurliyana Abdul Rahman manakala Datuk A Aida selaku plaintif turut hadir bersama peguamnya, Ashmadi Othman.
Beberapa saksi dipanggil untuk memberi keterangan termasuk pengurus syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd yang memberitahu pihaknya terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran kontrak dibuat Amelia.
Bagaimanapun, Amelia menafikan wujudnya pelanggaran kontrak sewaktu dia terlibat menjayakan naskhah terbabit bersama produksi berkenaan.
Selain Amelia, aktor Idris Khan turut berhadapan dengan perkara sama kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian dengan produksi A Aida Production Sdn Bhd dalam sebuah drama.
Bagaimanapun, Idris Khan dan A Aida mengambil kata sepakat untuk menyelesaikan hal tersebut dengan baik di luar mahkamah.
Untuk rekod, perbicaraan kes saman Amelia dan A Aida atau Zaidah Awang bermula pada 1 November lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram