Bantuan Khas Raya kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan pula RM200 lagi


  • Primer
  • Rabu, 29 Mac 2023

Anwar Ibrahim mengumumkan empat lagi inisiatif bantuan khas sempena sambutan Aidilfitri. — Bernama

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu mengumumkan empat inisiatif tambahan dalam Belanjawan 2023.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini berkata inisiatif tambahan baharu itu melibatkan bantuan Aidilfitri, melanjutkan pelepasan cukai individu dan berkaitan peruntukan kredit perumahan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

"Memandangkan keadaan hidup rakyat ini masih terasa, saya teliti mana kohort yang tidak peroleh manfaat sebelum ini, masih ada masalah terutama pada bulan Ramadan dan Aidilfitri.

"Maka saya bersetuju salurkan bantuan khas Kewangan Aidilfitri kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan sebanyak RM200 lagi, tambahan kepada apa yang telah diumumkan. Hal ini akan menelan belanja RM170 juta ringgit,” kata beliau.

Anwar berkata, penambahan tersebut merupakan bantuan terbesar yang pernah diberikan kerajaan kepada golongan nelayan, pesawah dan pekebun kecil

Dalam Belanjawan 2023 sebelum ini, kerajaan mengumumkan bantuan sebanyak RM300 sebulan kepada nelayan dan RM200 sebulan untuk pesawah padi untuk tempoh tiga bulan semusim serta menaikkan sumbangan musim tengkujuh daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan kepada pekebun kecil getah.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram