
SUASANA di bazar Ramadan dekat Bandar Seri Jempol, Jempol, Negeri Sembilan pada Sabtu pagi kecoh seketika, selepas enam gerai dirempuh oleh seorang wanita.
Bertanggungjawab atas perkara itu, seorang peniaga perkhidmatan penghantaran hadiah mengejut (suprise delivery) tampil memohon maaf.
Nur Shaliyana Abdullah, 34, berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi itu bermula ketika dia mahu meletakkan kenderaan untuk kedai sewanya yang terletak berhampiran.
"Saya rasa saya seperti sudah tekan brek tetapi sebaliknya pula yang berlaku dan kereta yang dipandu terus meluncur dan merempuh enam gerai.
"Mujur ketika kejadian peniaga bazar masih belum melakukan jualan dan selepas kemalangan ada peniaga lain membantu mengeluarkan saya.
"Peniaga tersebut turut membantu mengenal pasti pemilik gerai terlibat. Saya minta maaf dan akan membayar ganti rugi semua gerai yang rosak," katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Dia yang tidak mengalami sebarang kecederaan memberitahu, akibat rempuhan keretanya itu, empat khemah gerai patah manakala dua gerai mengalami kerosakan pada meja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram