Selain pecah rekod, Acong kongsi petua untuk kaki pancing guna plaster elak mabuk laut


  • Hobi
  • Sabtu, 25 Mac 2023

Acong bersama penyanyi veteren ketika sesi rakaman Takbir Raya Rockers di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur.

PELAKON dan penyanyi tanah air, Ahmad Fauzi Manat atau lebih dikenali sebagai Acong Sweetchild yang terkenal sebagai vokalis kumpulan Sweet Child dengan lagu popular antaranya Tinggal Sayang,Tinggallah Pujaan, Mainan Perkasihanmu dan Terlarang Itu Godaan.

Acong, 50, merupakan salah seorang peserta Gegar Vaganza musim kedua dan memenangi tempat kelima pada 2015 bersama artis tempatan seperti Siti Nordiana, Farahdhiya, Nassier Wahab dan Ezad Lazim.

Selain itu, dia turut berkecimpung dalam bidang lakonan dan membintangi beberapa siri drama TV termasuk Gerak Khas, Jangan Ikut Aku, One Two Hantu dan Republic Gombak.

WhatsApp Image 2023-03-24 at 17.19.48

Acong bersama rakan-rakannya memancing ketika berada tengah laut . Instagram/acongsweetchild

Aktiviti Ramadan

Dengan kehadiran bulan puasa, pastinya ramai artis atau selebriti mengambil ruang untuk fokus kepada ibadah selain melakukan aktiviti yang bersesuaian dengan Ramadan.

Begitu juga dengan Acong yang menjalankan aktiviti perniagaan pada bulan yang mulia itu.

"Sepanjang bulan Ramadan saya akan mengurangkan aktiviti seni kerana perlu ke Singapura untuk berniaga 'Acong Cendol Santan Sawit Meletop' di bazar Sembawang negara jiran itu," katanya kepada Majoriti.

Selain bulan Ramadan, Acong juga berkongsi tentang aktiviti yang dilakukannya bagi mengisi masa lapang jika tidak terlibat dengan jadual seni.

"Kalau dekat rumah, macam-macam juga saya buat seperti membersihkan ruangan rumah, selain berjalan-jalan sekitar kawasan rumah sambil lepak di tepi tasik bersama isteri," katanya.

Acong mengakui memancing merupakan antara hobi yang digemarinya dan pasti akan meluangkan masa untuk aktiviti tersebut jika berkelapangan.

"Bila keadaan stres atau bosan baru akan memancing sebab suasana itu berbeza dari dunia hiburan.

"Biasanya, saya pergi memancing bersama Suzahari Aziz atau lebih dikenali sebagai Yem, pemain papan nada kumpulan Sweet Child itu dan saya lebih suka memancing di kolam air masin", kongsinya.

Pecah rekod

Pengalaman menarik yang dikongsikan pada dua tahun lepas apabila dia membuat rekod sendiri yang mana memperolehi lima ekor ikan kurang dari satu jam ketika memancing di kolam ikan, Jalan Bagan Sungai Janggut, Kuala Selangor.

"Ini rekod lah bagi saya, tidak sampai sejam saya bawa naik tiga ekor ikan kaci dan dua ekor ikan lagi, dalam seumur hidup tidak pernah lagi dapat ikan lima ekor kurang sejam,"katanya kepada Majoriti.

Pengalaman indah tersebut berlaku pada hujung tahun lepas yang mana isterinya, Marya Zuraida dan Yem menjadi saksi dia mendapatkan ikan dan berkongsi rezeki dengan pemain papan nada itu.

Selain itu, dia juga menceritakan pengalamannya pernah menaiki kapal besar bergerak dari jeti untuk memancing di tengah laut bersama Hafiz Utopia, Shafie Rio dan EJ Samudera di Dungun, Terengganu.

"Perkara yang saya ingat ialah, sampai sahaja kami di tengah laut, kami menampal bawah perut dengan plaster agar tidak mabuk laut petuanya, namun akhirnya EJ pula muntah," kata vokalis kumpulan Sweet Child itu.

Dia dan rakan-rakannya berkongsi hasil tangkapan yang memberansangkan itu selepas seharian berada di tengah laut dan pulang pada waktu senja.

"Menu masakan yang biasa akan dimasak mengikut jenis ikan seperti kari asam pedas, masak tiga rasa dan macam-macam lagi," kongsinya.

Tambahan pula, bagi dirinya, semasa memancing fikiran akan kosong dan tenang kerana tidak perlu memikirkan perkara lain terutamanya dunia hiburan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram