SEPERTI yang diketahui, bukan sahaja umat Islam malahan masyarakat berbilang bangsa di Malaysia mempunyai pelbagai pilihan yang menyelerakan semasa bulan puasa.
Namun begitu, pakar pemakanan dan kesihatan menasihatkan orang ramai agar mengamalkan kesederhanaan dan mengambil kira pengambilan makanan mereka.
Menurut Timbalan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof berkata, digalakkan untuk membuat senarai hidangan yang hanya diperlukan dan mengehadkan pengambilan makanan bergoreng serta minuman manis.
Pengambilan kurma dan air kosong digalakkan untuk diambil sebelum berbuka.
"Karbohidrat yang diproses harus diminimunkan kerana ia boleh mengakibatkan rasa lapar yang melampau dan keletihan.
"Walaupun orang ramai mengurangkan kadar pengambilan makanan sepanjang Ramadan, masih ada kemungkinan untuk berat badan meningkat kerana makanan tinggi lemak dan gula," katanya.
Kualiti makanan perlu diutamakan dengan hidangan yang mengandungi keseimbangan protein berasaskan haiwan atau sayuran seperti tempe, tauhu, sayur-sayuran dan buah-buahan. Pengambilan makanan tersebut akan membolehkan seseorang itu kurang lapar sepanjang hari.
Dr Barakatun berkata, orang ramai perlu membuat perancangan awal sebelum ke bazar Ramadan kerana mereka akan ke sana antara pukul 5 atau 6 petang yang mana ketika itu mereka lapar dan mempunyai selera tinggi untuk membeli makanan dalam kuantiti banyak.
Dia juga mencadangkan agar mengurangkan pembelian makanan berminyak seperti ayam panggang atau ikan bakar dan lebihkan pembelian sayur-sayuran.
"Jika anda sudah mengambil makanan bergoreng, sayur-sayuran yang dibeli hendaklah sama ada direbus atau dikukus," katanya.
Ahli farmasi terkemuka yang juga penasihat perubatan holistik, Datuk Dr Rajen M berkata, makanan semasa sahur dan berbuka puasa harus lebih berasaskan protein dengan buah-buahan serta sayur-sayuran.
"Elakkan makanan bergoreng dan yang tinggi lemak trans seperti marjerin, meminum air kurma juga merupakan cara berbuka puasa yang sangat sihat," katanya.
"Satu tanggapan yang salah semasa bersahur adalah memakan bahagian yang lebih besar untuk mengekalkan daya ketahanan badan dalam tempoh lebih lama.
"Pengambilan makanan yang sepatutnya diambil semasa sahur ialah makanan yang lambat dihadam seperti daging dan sayur-sayuran agar lebih kenyang sepanjang hari.
"Ketika berbuka puasa, makan secara sederhana dan elakkan makanan bergula serta berkanji. Tabiat tidur yang betul perlu diamalkan kerana corak yang tidak konsisten boleh menyebabkan penambahan berat badan walaupun berpuasa kerana ia boleh menjejaskan metabolisme," katannya.
Selan itu, Jurulatih Peribadi dan Kecergasan, Sebastian Tan berkata, aktiviti fizikal masih boleh dilakukan sepanjang Ramadan namun perlu mengikut kemampuan diri seseorang.
Bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan semasa Ramadan, Tan berkata, ia akan berlaku jika terdapat defisit kalori melainkan seseorang itu berlebihan dalam pemakanan mereka.
Defisit kalori adalah apabila seseorang makan dan minum lebih kalori daripada jumlah yang dibakar sekali gus memberi kesan penurunan berat badan.
Tan berkata, masa terbaik untuk bersenam pada Ramadan bergantung kepada keutamaan peribadi, namun dia mencadangkan agar ia dilakukan sama ada sebelum sahur, sebelum berbuka puasa, atau lewat malam. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram