[VIDEO] Sampai lempar kerusi meja, rider dan 2 pelanggan cedera kini ditahan polis P. Pinang bantu siasatan gaduh di restoran


  • Tular
  • Khamis, 16 Mac 2023

Tangkap layar pergaduhan melibatkan tiga individu di sebuah restoran dekat Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Rabu.

KECOH sebuah restoran apabila seorang penunggang e hailing dan dua pelanggan saling bergaduh dan mengganas di Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Rabu.

Dalam rakaman berdurasi seminit lima saat itu, pelanggan terbabit dilihat terlebih dahulu menyerang penunggang tersebut menggunakan kerusi restoran.

Tidak dihentikan mana-mana pihak, situasi kian meruncing apabila mereka saling berbalas serangan di lokasi kejadian.

Rentetan kejadian itu, tiga lelaki tempatan telah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Mohd Zain berkata, penahanan lelaki berusia 44 hingga 68 tahun itu susulan laporan kejadian yang berlaku di sebuah restoran di Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar, polis menasihatkan agar pengguna media sosial tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes sehingga boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jafri berkata, kedua-dua pengadu mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badan sementara penghantar makanan terbabit juga telah membuat laporan polis pada hari yang sama.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram