Elak salah guna, rumah mampu milik Johor hanya boleh dijual lepas 10 tahun


  • Primer
  • Selasa, 21 Mac 2023

Antara contoh rumah teres dua tingkat di bawah RMMJ di Taman Mengkibol, dekat Kluang, Johor.

PEMILIK Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang bernilai RM150,000 ke bawah, hanya dibenarkan menjual kediaman mereka kepada pihak ketiga selepas tempoh 10 tahun daripada tarikh pembelian.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, dasar baharu itu bertujuan memastikan rumah mampu milik yang disediakan kerajaan negeri bagi membantu golongan B40 memiliki kediaman sendiri tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, dasar itu terpakai untuk RMMJ bagi kategori A yang berharga RM50,000, B (RM100,000) dan C (RM150,000).

"Dasar lama membenarkan rumah RMMJ dijual kepada pihak ketiga selepas lima tahun, tetapi mulai 1 Januari 2023, dasar baharu menetapkan boleh dijual selepas 10 tahun. Kita telah pun memulakan operasi pemeriksaan sejak tahun lepas untuk memastikan tiada mana-mana pihak menyalahgunakan kemudahan tersebut.

"Jika ada cubaan untuk menjual unit RMMJ sebelum tempohnya, Pejabat Tanah boleh menghalang urus niaga itu 'legally', iaitu pertukaran nama dalam geran tidak boleh dibuat," kata Mohd Jafni kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.

Sementara itu, ketika menjawab soalan lisan Abdul Aziz Talib (PN-Maharani) yang ingin mengetahui langkah untuk mengatasi projek perumahan bermasalah di Johor ketika persidangan berkenaan, Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan pemaju projek perumahan swasta bagi membela nasib pembeli hartanah.

Mohd Jafni berkata, setakat ini, terdapat 33 projek perumahan sakit, manakala lapan projek perumahan terbengkalai di seluruh negeri ini.

"Projek sakit dan terbengkalai ini di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, bukan kerajaan negeri. Tetapi jika ada pemaju yang mahu minta bantuan kita alu-alukan sebab kita ada PDRC (Jawatankuasa Perancangan, Pembangunan dan Rekabentuk) melibatkan saya sebagai pengerusi, Pejabat Tanah dan Galian, pihak berkuasa tempatan serta agensi lain termasuk Jabatan Kerja Raya dan Syarikat Air Johor.

"Jadi, projek seperti ini, pemaju perlu ada inisiatif untuk datang kepada pihak kerajaan negeri dan memaklumkan isu serta permasalahan dihadapi mereka, selepas mereka berbuat demikian barulah kerajaan negeri dapat membantu," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram