[VIDEO] Harga kediaman makin melambung, lelaki UK ubah suai tong sampah jadi rumah


  • Benua
  • Isnin, 20 Mac 2023

Harrison bergambar di hadapan rumah kecil yang dibinanya daripada tong sampah. — Agensi

SEPERTI di semua bandar raya utama di seluruh dunia, harga sewa kediaman di London, United Kingdom kini turut merekodkan peningkatan yang tinggi.

Ekoran itu, artis seni yang juga arkitek, Harrison Marshall tampil membina sebuah rumah kecil diperbuat daripada tong sampah sebagai respons terhadap isu kenaikan kos harga rumah.

Dia menamakan rumah kecil itu sebagai 'rumah persinggahan', bersempena dengan tong sampah besar yang dikenali sebagai tong sampah persinggahan di negara itu.

Harrison membina rumah berkenaan di kawasan pengumpulan sampah terletak di pinggir bandar London di Bermondsey.

WhatsApp Image 2023-03-20 at 11.30.12 AM

Rekaan dalaman rumah persinggahan yang dibina Harrison.

Lokasi kediaman itu dapat digunakan kerana ia dipajak oleh sebuah badan amal seni, Antepavillion.

Rumah kecil itu dibuat dengan mendapat naungan daripada Skip Gallery, iaitu pihak yang mempromosikan artis seni baharu dan sebuah syarikat reka bentuk serta pembinaan, Caukin Studio.

Walaupun sewa untuk apartmen studio tunggal di Bermondsey adalah melebihi sekitar £1,500 (RM8,175), Harrison boleh tinggal di rumah persinggahannya itu dengan bayaran hanya £50 (RM272) sebulan.

Jumlah kos pembinaan rumah kecil itu pula berjumlah £4,000 (RM21,801).

Video lawatan ke rumah persinggahan berkenaan turut tular di media sosial.

Bagi memasuki rumah berkenaan, Harrison menggunakan tangga kecil untuk merangkak melalui satu bukaan di bahagian tepi kediaman berkenaan.

Di dalamnya terdapat ruang tamu kecil bercantum dengan ruang dapur yang mempunyai singki dan beberapa rak, sementara katil dipasang di bahagian atas ruangan berkenaan.

Harrison turut menyewa sebuah tandas mudah alih di luar rumah kecil tersebut dan menjadikan gim digunakannya sebagai tempat mandi.

Dia merancang untuk tinggal di rumah tersebut selama setahun.

Bagaimanapun, Harrisontidak melihat rumah persinggahan itu sebagai penyelesaian kepada masalah berlaku, sebaliknya mahu memberi kesedaran mengenai krisis perumahan yang tidak mampu milik dan isu homeless di bandar raya berkenaan.

WhatsApp Image 2023-03-20 at 11.31.22 AM

Harrison merancang untuk tinggal di rumah kecil dibinanya itu selama setahun.

Bercakap kepada media, Hyperallergik, Harrison menjelaskan bahawa rumah persinggahan itu merupakan satu seni persembahan.

"Saya mahu memahami realiti situasi sewa di London dengan mencipta sesuatu yang boleh dianggap lebih baik daripada kebanyakan bilik yang ditawarkan di sekitar London, walaupun ia berada di dalam tong sampah,” ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram