Hati-hati, 4 kesilapan biasa dilakukan pembayar cukai ketika mengisi e-Filing


  • Massa
  • Khamis, 16 Mac 2023

Terdapat empat kesilapan yang sering dilakukan pembayar cukai ketika membuat pengisian maklumat di platform e-filing. — Gambar hiasan

SETIAP tahun, rakyat Malaysia yang layak dikenakan cukai pendapatan perlu melaksanakan pemfailan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Untuk rekod, seseorang individu mula diwajibkan membayar cukai pendapatan apabila menerima pendapatan tahunan sebanyak RM34,000 atau lebih, selepas ditolak caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bagi memudah dan menjimatkan masa pembayar cukai, LHDN menggalakkan supaya mereka menggunakan kemudahan perkhidmatan, e-Filing bagi menyempurnakan pengisian maklumat dan penghantaran borang secara dalam talian.

Dengan cara itu, proses pemfailan dapat dilakukan sepenuhnya melalui dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter LHDN dan ia turut dapat dilaksanakan di mana-mana sahaja tanpa mengira masa.

Bagaimanapun, kaedah ini dilihat secara langsung sedikit menyukarkan untuk mendapatkan sebarang bantuan sekiranya berlaku sebarang kekeliruan semasa mengisi dan melengkapkan data ke dalam e-Filing.

lhdn

LHDN menerima turut menerima maklum balas dan aduan berhubung kekeliruan dihadapi pembayar cukai ketika menggunakan e-filing.

Sehubungan itu, Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur menggariskan beberapa kesilapan dan kekeliruan utama dilakukan pembayar cukai semasa mengisi maklumat di platfrom e-Filing.

Senarai ini dibuat berdasarkan kepada maklum balas dan aduan yang terima oleh LHDN daripada pengguna platform tersebut.

1) Kegagalan melaporkan pendapatan yang betul

Kekeliruan bagi melaporkan pendapatan sebenar berlaku antara lain disebabkan kegagalan pembayar cukai untuk mendapat dan mengenal pasti maklumat tepat diperlukan untuk mengisi pendapatan sebenar yang diperolehi.

Sehubungan itu, Ranjeet berkata, pengguna perlu mengetahui jenis pendapatan yang diperolehi dan jenis borang BNCP yang terlibat.

Katanya, untuk pembayar cukai individu yang bermastautin dan menerima pendapatan penggajian, mereka harus menggunakan Borang BE secara manual atau e-Be melalui e-Filing untuk melaporkan pendapatan tahunan mereka.

"Tarikh akhir penghantaran borang B atau e-B adalah pada 30 Jun 2023 bagi mereka yang menghantar secara manual sementara 15 Julai 2023 pula adalah bagi yang menghantar secara e-Filing.

Untuk pembayar cukai individu bermastautin dan menerima pendapatan perniagaan pula, mereka harus menggunakan Borang B secara manual atau e-B melalui eFiling untuk melaporkan pendapatan tahunan mereka," katanya kepada Majoriti.

cukai 3

Kegagalan melaporkan pendapatan yang betul berpunca kerana pembayar cukai tidak tahu cara untuk mendapatkan maklumat diperlukan untuk mengisi pendapatan yang diperolehi.

Bagi borang ini, tempoh akhir penghantaran untuk mereka yang menghantar secara manual adalah pada 30 Jun 2023 dan 15 Julai 2023 bagi mereka yang menghantar secara e-Filing.

Selain itu, antara dokumen penting lain bagi tujuan pelaporan pendapatan ialah penyata penggajian yang dikenali sebagai Penyata EA, iaitu dokumen bagi pekerja swasta dan Penyata EC, untuk pekerja kerajaan.

Ranjeet berkata, kedua-dua dokumen tersebut mesti disediakan bagi mereka mempunyai pendapatan penggajian dan ia hanya boleh diperolehi daripada majikan masing-masing.

Selain pendapatan, terdapat juga beberapa perkara lagi perlu dimasukkan dengan betul untuk memastikan pengiraan cukai sebenar dan sepatutnya dapat dikenakan.

Ia antaranya, melibatkan Potongan Cukai Bulanan (PCB), maklumat derma (jika ada), Potongan KWSP (jika ada) dan Rebat Zakat (jika ada).

"Pembayar cukai tidak digalakkan memasukkan angka 'sen' di dalam BNCP bagi mengelakkan kesilapan terhadap amaun sebenar yang dilapor atau dituntut.

"Bagi kes pembayar cukai menerima lebih daripada satu punca penggajian, kesemua pendapatan penggajian daripada majikan yang berbeza perlu digabungkan dan dilaporkan dalam ruangan amaun penggajian," ujarnya.

2) Terlupa atau tidak menuntut amaun pelepasan yang dibenarkan

Ranjeet berkata, antara jenis pelepasan yang ditinggalkan oleh pembayar ketika mengisi e-filing adalah tuntutan insurans nyawa, derma, caruman Tabung SSPN atau pelepasan anak.

Ranjeet berkata, bagi tahun Taksiran 2022, pihak kerajaan memperuntukkan sebanyak 21 jenis pelepasan.

Katanya, pembayar cukai boleh merujuk senarai tersebut di portal rasmi LHDN.

"Pembayar cukai dinasihatkan untuk mengoptimumkan jenis tuntutan pelepasan cukai dan bukannya memaksimumkan amaun tuntutan pelepasan cukai diberikan pihak kerajaan dengan sengaja," jelas beliau.

3) Kesilapan yang timbul daripada salah faham undang-undang

People looking a Laptop in Plaza Low Yatt in Kuala Lumpur. —AZLINA ABDULLAH/The Star

Resit pembelian barangan dibenarkan pelepasan cukai perlu dikeluarkan atas nama pembayar cukai bagi tujuan tuntutan pelepasan tersebut.

Kekeliruan ini lazimnya berlaku apabila pembayar cukai tidak begitu peka semasa membuat pembelian membabitkan barangan yang diberikan pelepasan cukai.

Sebagai contoh, untuk tahun 2022, ramai ibu bapa yang membeli komputer atau tablet bagi kegunaan anak-anak untuk belajar secara dalam talian.

Bagaimanapun, resit pembelian barangan tersebut dikeluarkan atas nama anak masing-masing.

"Oleh yang demikian, ibu bapa adalah tidak layak menuntut pelepasan ini kerana resit telah dikeluarkan atas nama anak.

"Justeru, pastikan sebarang pembelian adalah dikeluarkan atas nama pembayar cukai bagi tujuan menuntut pelepasan tersebut," ujar Ranjeet.

4) Terlebih menuntut pelepasan atau derma

Kesilapan bagi isu membabitkan kes terlebih membuat tuntutan untuk pelepasan atau derma biasanya melibatkan bayaran derma secara tunai ke tabung-tabung rumah kebajikan yang tidak berdaftar dengan LHDN dan ketiadaan resit pembuktian.

Ranjeet berkata, pembayar cukai tidak layak menuntut potongan atau derma yang dilakukan kerana derma yang layak dituntut adalah derma kepada Kerajaan, Kerajaan Negeri dan institusi yang layak di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

Katanya, senarai institusi yang diluluskan juga boleh disemak di portal rasmi LHDN. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram