HALANGAN bahasa menjadi antara punca utama menyebabkan murid dalam kalangan Orang Asli menghadapi kesukaran menguasai kemahiran berbahasa Inggeris yang diajarkan di sekolah.
Profesor Madya Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Norwaliza Abdul Wahab berkata, situasi itu juga menyebabkan murid daripada komuniti tersebut tidak mempunyai motivasi meneruskan pembelajaran dalam subjek tersebut.
"Bagi mereka, bahasa Melayu adalah bahasa kedua manakala bahasa Inggeris pula bahasa ketiga. Jadi mereka terpaksa belajar dua-dua bahasa ini serentak.
"Dalam situasi ini, mereka rasa sangat sukar menguasai kedua-dua bahasa ini. Tambah pula masa tidak cukup nak belajar dekat sekolah, sebab bila dia balik ke rumah, dia bercakap bahasa ibunda masing-masing," katanya kepada Majoriti.
Bagi mengatasi isu tersebut, Norwaliza berkata, adalah penting untuk guru dihantar bagi mengajar di sekolah Orang Asli untuk terlebih dahulu menggunakan pendekatan mampu menarik minat pelajar komuniti berkenaan untuk belajar.
Norwaliza berkata aspek awal adalah pastikan anak Orang Asli minat ke sekolah.
"Jadi perkara utama adalah memastikan mereka minat datang ke sekolah sebab jika tidak mereka memang akan tinggalkan terus semua tidak kira subjek apa pun," ujarnya.
Secara umumnya, beliau berkata, tahap pendidikan Orang Asli termasuk dalam subjek bahasa Inggeris sememangnya berada pada tahap sangat rendah dengan mengambil kira tahap keciciran yang berlaku dalam kalangan pelajar komuniti tersebut.
Malahan, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada tahun lepas dilaporkan berkata, lebih 10 peratus anak Orang Asli di seluruh Semenanjung dikesan tercicir daripada sistem pendidikan.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada November 2021 dalam jawapan disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen memaklumkan, sebanyak 42.29 peratus murid Orang Asli tidak menamatkan persekolahan sehingga Tingkatan 5 bagi tahun 2021 berbanding tahun 2020, sebanyak 58.62 peratus.
Untuk menangani isu tersebut, Norwaliza berkata, terdapat sekurang-kurangnya dua elemen perlu ditekankan guru ditugaskan untuk mengajar komuniti tersebut iaitu memahirkan diri dengan bahasa ibunda komuniti dan budaya masyarakat setempat.
Katanya, berbanding murid biasa, kanak-kanak komuniti Orang Asli dibesarkan dalam persekitaran yang jauh berbeza dan memerlukan pendekatan lebih khusus.
"Bila mereka duduk dekat hutan itu, mereka bebas. Jadi bila pergi ke sekolah dia rasa macam agak rigid (terhad). Kena duduk dekat kerusi, kena belajar. Jadi pendekekatan itu perlu lebih fleksibel," kata beliau.
Norwaliza menambah, meskipun KPM ada membuat inisiatif bagi melahirkan kumpulan guru terdiri daripada Orang Asli, ia dilihat masih jauh daripada mencukupi bagi memenuhi keperluan pembelajaran komuniti tersebut.
"Jadi kita masih lagi perlukan guru daripada aliran perdana ini untuk dapatkan sekurang-kurangnya mengikuti latihan untuk mendedahkan mereka kepada persekitaran dan budaya masyarakat Orang Asli," ujarnya.
Berbanding murid biasa, murid daripada komuniti Orang Asli dibesarkan dalam persekitaran yang jauh berbeza menyebabkan ia memerlukan pendekatan lebih khusus.
Dalam pada itu, beliau turut berpendapat, untuk memastikan pengajaran lebih berkesan kepada murid Orang Asli, langkah mewujudkan kurikulum khas sememangnya alternatif perlu dipertimbangkan KPM.
"Kalau kita boleh wujudkan sekolah jenis kebangsaan untuk kaum Cina dan India, kenapa Orang Asli tidak boleh ada sekolah khas.
"Jadi sepatutnya ada kurikulum khas yang mengandungi elemen pengetahuan atau ilmu pribumi, masyarakat setempat, budaya, bahasa dan sebagainya," ujarnya yang sudah melakukan lebih 30 kajian berkaitan pendidikan Orang Asli di dalam negara.
Norwaliza berkata, meskipun langkah itu dilihat memakan masa untuk dilaksanakan, ia boleh terlebih dahulu dimulakan dengan kajian rintis di beberapa sekolah yang terdiri daripada 100 peratus murid Orang Asli. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram