[VIDEO] Kes rempuhan berulang, kali ini lori 'sondol' 8 kenderaan di Sandakan


  • 112
  • Rabu, 15 Mac 2023

Tangkap layar kemalangan membabitkan sembilan buah kenderaan di Sandakan, Sabah.

SEORANG lelaki dilaporkan tercedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori muatan seberat 10 tan dan lapan lagi kenderaan lain di Sandakan, Sabah pada Selasa.

Insiden berlaku sebaik pemandu lori berkenaan gagal mengawal pemanduan dan merempuh beberapa buah kenderaan lain di laluan terbabit.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu sekitar pukul 4.31 petang dan mengerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan ke lokasi.

"Komander Operasi melaporkan, kemalangan terbabit melibatkan sebuah lori 10 tan yang merempuh sebuah lori 1.5 tan.

"Akibat kejadian itu, berlaku rempuhan di kenderaan hadapan melibatkan lapan kereta iaitu sebuah lori 3 tan, bas mini 29 penumpang, Perodua Myvi, Proton Saga FLX, Toyota Revo,Toyota Hilux dan Ford Ranger," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mangsa lelaki yang merupakan pemandu lori 1.5 tan itu dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital dengan bantuan pihak ambulans untuk rawatan lanjut.

Ini merupakan kejadian kedua berlaku dalam tempoh kurang dua minggu selepas pada 3 Mac lalu, seorang lelaki berusia 40 tahun merempuh enam kenderaan sebelum kereta yang dipandunya terbalik di Lebuh Raya Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pemandu kenderaan jenis Lexus itu dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar enam kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat.

Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan hasil ujian air kencing mendapati, lelaki terbabit positif dadah jenis ganja dan ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya.

Ekoran dua kejadian berkenaan, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu dan mematuhi undang-undang jalan raya untuk mengelak insiden sama berulang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram