Lelaki ditahan, padah mabuk langgar penghadang jalan, pukul polis


  • 112
  • Jumaat, 17 Mac 2023

Lelaki itu ditangkap oleh pasukan polis yang sampai memberi bantuan di tempat kejadian.

POLIS menahan seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol selepas mengamuk dan memukul dua orang pegawai rendah polis di hadapan Pos Pengawal Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), Ipoh,Perak pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima makluman berkaitan kejadian itu kira-kira 12.10 berhubung lelaki tempatan berusia 30 tahun berkenaan yang terlanggar pengadang jalan berhampiran pos pengawal sebelum mengamuk semasa pemeriksaan dilakukan terhadapnya.

"Akibat serangan lelaki tersebut, kedua-dua pegawai rendah polis terbabit mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

"Lelaki itu kemudian ditangkap oleh pasukan polis yang sampai memberi bantuan di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek kini direman selama tiga hari sehingga Ahad bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram