ORANG awam yang melalui pintasan atau bypass Bukit Rangin, Kuantan, Pahang dikejutkan dengan kehadiran dua ekor gajah liar di tepi laluan tersebut pada Rabu.
Melalui perkongsian seorang individu, Papa Rie melalui halaman Facebook Warga Kuantan Official memaparkan aksi dua hidupan liar itu berselindung di sebalik pokok di tepi laluan tersebut.
Menurutnya, kehadiran dua gajah itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di situ kerana orang awam berhenti serta memperlahankan kenderaan mereka untuk melihat mamalia berkenaan.
"Jalan sesak di bypass Bukit Rangin. Ingatkan ada kemalangan, rupanya orang tengok gajah," tulisnya.
Dalam video berdurasi kurang seminit itu juga menunjukkan beberapa orang awam keluar dari kenderaan mereka yang diparkir di tepi lebuhraya berkenaan untuk melihat haiwan itu dengan lebih dekat.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memberikan reaksi berbeza terhadap video berkenaan.
Seorang pengguna Facebook, Anne Norra Anne berkata, kedua-dua gajah ditambat sementara di kawasan yang mempunyai pokok besar di tepi jalan berkenaan.
"Kedua-dua haiwan tersebut terpisah daripada kumpulannya dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhillitan) menambat sementara gajah tersebut di kawasan berkenaan sebelum dilepaskan ke habitat asal yang lebih sesuai," tulisnya.
Sementara itu, Nor Ain pula menzahirkan kerisauannya melihat orang awam yang berhenti di tepi laluan tersebut.
"Aku risau tengok keluarga yang bawa anak tengok gajah itu, dia ingat zoo negara ke? Kalau tiba-tiba gajah itu mengamuk macam mana? Jangan buat main-main haiwan liar ini, bahaya," tulisnya.
Joe Fared pula mengecam tindakan orang awam yang sanggup memberhentikan kenderaan mereka sehingga menyebabkan kesesakan lalulintas.
"Aku lambat pergi kerja pagi tadi disebabkan ini, pukul 10 pagi masih sesak dekat sana. Ingatkan ada kemalangan, rupanya ada orang selfish berhenti tepi jalan. Geram betul, tolong jangan pentingkan diri sendiri. Anda mungkin bercuti tetapi saya bekerja," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram