ETIKA berpakaian di premis kerajaan adalah selaras dengan prinsip kelima Rukun Negara, iaitu kesopanan dan kesusilaan yang bertujuan memupuk kesepaduan rakyat menerusi sikap bersopan santun dan bertatasusila.
Maka, orang ramai diminta untuk berpakaian labuh sekurang-kurangnya menutupi paras lutut dengan tidak memakai seluar ataupun skirt yang pendek.
Namun, perkara itu masih gagal dituruti segelintir masyarakat yang dilihat masih ingkar dengan peraturan tersebut.
Terbaharu, seorang wanita mendakwa dirinya tidak dibenarkan masuk ke Wisma Negeri, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini kerana berseluar pendek atas paras lutut.
Meskipun telah mengambil cuti semata-mata untuk menguruskan hal peribadi di premis kerajaan tersebut, kemahuannya gagal dilaksanakan akibat pemakaiannya yang dilihat tidak menepati syarat.
Seorang wanita berseluar pendek atas paras lutut dilarang untuk berurusan di Wisma Negeri, Seremban, Negeri Sembilan.
Berpakaian baju kurang labuh berwarna merah jambu dan seluar hitam pendek atas paras lutut, pemakaian wanita terbabit nyata tidak diterima oleh pihak pengawal keselamatan yang melarangnya untuk berurusan di pejabat.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mengecam perbuatan individu tersebut.
"Cuba patuh dan jangan ingkar etika pemakaian ditetapkan, isu remeh macam ni pihak kerajaan perlu lebih tegas dan ambil tindakan terhadap si pelaku, jangan biar mereka besar kepala," kata Khirullahmdan Ahmad.
"Kenapa susah sangat nak ikut peraturan, dah buat salah lagi nak viral kan isu macam ni, memang jenis suka langgar peraturan ke macam mana ni," ujar Rasidah.
"Yang sebenarnya mereka sengaja nak mencabar apa yang ditetapkan, dah berapa kali kes macam ini berlaku takkan tak boleh faham lagi," jelas Mohd Akramun.
Majoriti sebelum ini melaporkan kejadian seorang wanita yang mendakwa dirinya dilarang memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor kerana berpakaian tidak sesuai.
Semakan mendapati, wanita tersebut memakai seluar pendek yang tidak menutupi lututnya dan hanya menukar pakaian sebaik dilarang masuk ke balai polis.
Namu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika itu menjelaskan, peraturan tersebut boleh dilonggarkan berdasarkan situasi kecemasan yang dihadapi pengadu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram