[VIDEO] Sengaja langgar kereta mangsa sebelum samun, 2 suspek berparang di Iskandar Puteri sudah kena cekup


  • Tular
  • Khamis, 16 Mac 2023

Tangkap layar video memaparkan kejadian samun di hadapan sebuah lobi Puteri Harbour baru-baru ini.

DUA lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian samun berparang di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kedua-dua suspek berbangsa India itu mengaku terlibat dengan kes tersebut dengan cara melanggar kereta mangsa.

"Suspek juga mencederakan mangsa dengan menggunakan parang.

"Ekoran dari tangkapan tersebut, polis berjaya membuat beberapa rampasan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, suspek direman selama empat hari sehingga Sabtu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (Rompakan Berkumpulan).

"Dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengesan rakan sejenayah," katanya.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Iskandar Puteri bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, tular video memaparkan lelaki berkumpulan yang membawa dua buah kenderaan bertindak menyamun pemandu sebuah kereta di hadapan sebuah lobi di Puteri Harbour.

Video berdurasi dua minit itu menyaksikan suspek menyerang mangsa menggunakan parang.

Mangsa juga dilihat cuba melarikan diri menggunakan kenderaannya, namun laluannya dihimpit dan disekat oleh kedua-kedua kenderaan suspek. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram