[VIDEO] 'Sanggup balik lambat nak tengok TMJ santuni pemain', keperibadian pemilik JDT dipuji ramai


  • Podium
  • Rabu, 15 Mac 2023

Tangkap layar TMJ menyantuni pemain-pemain JDT selepas tamat perlawanan.

SIAPA tidak kenal dengan pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang berjaya mengubah landskap bola sepak negara selain sering lantang bersuara menegur demi kebaikan sukan nombor satu tempatan itu.

Malah TMJ sendiri mengakui ketegasannya dalam membuat keputusan seperti yang didedahkan dalam temubual dalam segmen Bekpes Hot di radio HotFM baru-baru ini apabila beliau menegaskan mempunyai cara tersendiri bagi memastikan pemain JDT sentiasa memberikan prestasi terbaik di atas padang dan tiada yang bersikap diva dalam pasukan.

“Saya tegas dari segi prestasi pemain kerana mereka menerima gaji yang besar. Oleh itu, mereka harus sentiasa mengekalkan tahap profesionalisma mereka ketika menjalankan tugas.

“Saya seorang yang demand mengenai prestasi tetapi saya juga bermurah hati untuk menjaga kebajikan mereka. Kita akan mendapat perkara positif sekiranya kita tahu bagaimana kita nak menjaga orang yang bekerja untuk kita dan mereka tahu untuk membalas budi,” katanya.

Meskipun perwatakan TMJ yang dilihat lebih tegas kepada pemain-pemainnya ketika beraksi dalam padang, namun apabila di luar padang beliau menyantuni mereka seperti keluarga sendiri.

Ia dibuktikan dengan sebuah video di media sosial, memperlihatkan suasana selepas tamat perlawanan antara JDT dan Kelantan FC apabila TMJ sendiri turun ke padang untuk menyapa pemain-pemainnya.

Malah respons dari pemain-pemain juga dilihat sangat menghormati majikan mereka apabila bangun dan tunduk hormat sambil bersalaman dengannya.

Penyokong-penyokong turut mendedahkan mereka sanggup tidak keluar stadium lebih awal semata-mata hanya mahu melihat momen TMJ menyantuni pemain-pemainnya selepas tamat perlawanan.

"TMJ ini anak raja yang paling santai, tak terlalu protokol sangat dengan pemain-pemain, layan macam family sendiri," kata Encik Casper.

"Bila gaji dan fasiliti pemain terjaga pemain pula jaga majikan dia bagi yang terbaik sebab itu JDT, TMJ dan rakyat berpisah tiada," ujar Husin Kluang.

"Tiada lagi anak raja yang humble, suka tengok TMJ dari dulu lagi, mak sanggup balik lambat-lambat sebab nak tengok TMJ layan pemain-pemain dia macam kawan," jelas Lepat Cendol.

"Terbaik dan tahniah TMJ, betapa semangat kekeluargaan terus diterapkan walau di mana berada sebagai salah satu faktor kejayaan JDT," luah Mohd Basar.

Sebelum ini, TMJ menyokong usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan geran padanan untuk membantu naik taraf padang dengan rumput jenis Zeon Zoysia di stadium setiap negeri.

Menurut kenyataan rasmi TMJ di laman Facebook Johor Southern Tigers, ia adalah cadangan beliau sendiri untuk memastikan setiap stadium di Malaysia mempunyai padang yang berkualiti untuk kemajuan bola sepak tempatan.

“Saya ingin memuji inisiatif yang dilakukan oleh Menteri Belia Dan Sukan YB Hannah Yeoh dan pihak kementerian (KBS) bagi memastikan stadium-stadium di Malaysia mempunyai padang bola sepak yang baik," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram