[VIDEO] Budak 5 tahun mangsa terbaru maut diserang anjing liar


  • Benua
  • Rabu, 15 Mac 2023

Tangkap layar seorang kanak-kanak lelaki diserang sekumpulan anjing liar di daerah Khammam, Telangana, India.

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dilaporkan meninggal dunia akibat cedera diserang sekumpulan anjing di daerah Khammam, Telangana, India pada Ahad.

Dalam insiden tersebut, mangsa dikenali sebagai Banoth Bharath diserang anjing liar itu ketika sedang bermain dengan rakan-rakannya pada waktu petang.

Usaha ibu bapanya, B. Ravinder dan Sandhya untuk menyelamatkan anaknya gagal apabila Bharath meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Serangan anjing liar di Telangana semakin menunjukkan peningkatan kebelakangan ini dengan sebuah lagi daerah di Hyderabad turut berhadapan dengan isu sama.

Bulan lalu, seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut selepas diserang anjing liar di kawasan tersebut.

Selang beberapa hari kemudian, seorang lagi budak lelaki berusia empat tahun turut diserang anjing liar di Koloni Maruti Nagar, Hyderabad, India namun mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.

Susulan isu berkenaan, Mahkamah Tinggi Telangana telah mendakwa badan perbandaran Hyderabad berhubung kematian ngeri seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dalam serangan anjing liar di bandar tersebut.

Ketua Hakim Negara, Ujjal Bhuyan meletakkan kesalahan terhadap Greater Hyderabad of Municipal Corporation (GHMC) atas kematian kanak-kanak terbabit dan bertanya apakah langkah yang diambil untuk mengurangkan insiden serangan anjing liar.

Namun, masih belum ada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkenaan dengan kejadian itu nyata mengundang ketakutan dalam kalangan masyarakat di kawasan terbabit. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram