KERAJAAN Melaka melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri akan melakukan siasatan segera dan terperinci berhubung dakwaan makanan tengah hari yang dibekalkan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rambai tidak memuaskan.
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, pihaknya kesal dengan perkara itu yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku bagi penyediaan makanan kepada mangsa banjir di PPS.
"Kita tidak akan sesekali berkompromi dalam perkara seumpama ini selain akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pembekal sekiranya didapati perkara itu benar-benar terjadi termasuk menyenarai hitam mana-mana pihak katering yang tidak menjaga kualiti makanan.
"Hasil pemantauan kita di PPS SK Sungai Rambai pada Rabu, makanan yang dibekalkan dalam keadaan lebih baik selain maklum balas diterima daripada penghuni di PPS juga mengatakan perkara sama," katanya.
Media hari ini melaporkan mangsa banjir di PPS SK Sungai Rambai mendakwa makanan tengah hari yang dibekalkan kepada mereka tidak berkualiti.
Mengulas lanjut, Kalsom berkata pihak JKM memperuntukkan lebih RM20 sehari bagi empat hidangan disediakan kepada setiap mangsa di PPS dan berharap pihak pembekal katering dilantik menyediakan menu mengikut kadar yang berpadanan dengan harga dibayar selain menjaga kualiti makanan.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada PPS lain mengenai isu makanan basi atau tidak berkualiti yang dibekalkan kepada mangsa.
"Untuk masa akan datang, kita akan terus menambah baik mutu perkhidmatan makanan kepada penghuni di sini sama ada masak sendiri secara rewang atau melantik pihak kantin sekolah di PPS," katanya.
Sementara itu, seorang mangsa banjir di PPS SK Sungai Rambai, Laila Md Salleh, 62, dari Kampung Parit Penghulu, Melaka berkata, dia turut berdepan masalah makanan yang kurang memuaskan namun tidak menyuarakan hal tersebut kerana tidak mahu memperbesar isu.
"Saya dipindahkan ke PPS ini sejak Ahad, seperti semalam ikan masak tomato yang diberikan agak berbau kurang menyenangkan tetapi saya jamah nasi sedikit untuk alas perut sementara menunggu makan malam.
"Mulanya saya hanya berdiam diri kerana khuatir jika dikatakan sebagai tidak tahu bersyukur tetapi untuk kebaikan bersama, saya berharap masalah ini diatasi segera,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram