Belasah rakan sampai parah, 4 penghuni pondok pemulihan dadah didakwa di Kota Bharu


Mahkamah menetapkan 17 April depan untuk sebutan semula kes.

EMPAT penghuni di sebuah pondok pemulihan dadah persendirian didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan pada Isnin, atas pertuduhan memukul rakan penghuni sehingga cedera parah, dua minggu lalu.

Tertuduh, Ahmad Afzam Ibrahim, 31; Muhammad Firdaus Muhammad Zulkifli, 21; Mohamad Aniq Zamri, 33; dan Muhammad Irfan Hisam, 30, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Wan Aminullah Wan Ibrahim, 51, dengan menggunakan sebatang rotan.

Keempat-empat tertuduh itu didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik sebuah asrama di pondok pemulihan dadah persendirian, Manzilu Rahmah di Kampung Kandis, Bachok, pada pukul 9.30 malam, 1 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat selain tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 17 April depan untuk sebutan semula kes.

Kesemua tertuduh tidak membayar jaminan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram