KECOH pesawat syarikat penerbangan nasional Biman Bangladesh apabila seorang lelaki tidak berbaju bertindak ganas dengan memukul dan menumbuk seorang penumpang ketika dalam penerbangan ke Bangladesh.
Pergaduhan itu dikatakan berlaku susulan salah faham berkenaan tempat duduk penumpang di dalam pesawat Boeing 777 tersebut.
Gagal mengawal kemarahan, salah seorang penumpang difahamkan mula melakukan kekasaran apabila menumbuk lelaki tidak berbaju itu.
Tersentak dengan situasi berkenaan, kedua-dua penumpang itu kemudiannya saling berbalas tumbukan sekali gus menimbulkan kekecohan dalam penerbangan tersebut.
Meskipun cuba dihentikan beberapa kru penerbangan yang bertugas, pergaduhan itu masih berlarutan dan kian meruncing apabila kedua-duanya mula menjerit dan tarik menarik satu sama lain.
Punca lelaki tersebut dalam keadaan tidak berbaju bagaimanapun masih belum diketahui namun pergaduhan itu berjaya dileraikan beberapa minit kemudian oleh pegawai dan kru yang bertugas.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama insiden pergaduhan berlaku dalam pesawat dengan kejadian pada minggu lalu menyaksikan sebuah syarikat penerbangan Air Canada terpaksa melakukan pendaratan cemas di Hawaii selepas seorang penumpang dilaporkan mencekik dan mengasari seorang pramugari.
Sementara itu, syarikat penerbangan terkemuka Air Asia turut melalui situasi sama apabila dua pengembara telah dihalau keluar dan ditahan polis kerana mencaci kakitangan syarikat penerbangan tersebut pada 6 Januari lalu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram