TINDAKAN seorang lelaki yang mencuri beg dan memecahkan tingkap kereta di Seberang Jaya, Seberang Prai Tengah pada Khamis mengundang perhatian ramai susulan kejadian itu dapat dilihat menerusi kamera dashcam.
Namun lebih mencuri perhatian, si penyamun tu sekadar berputih mati kerana beg yang diambil hanya mengandungi beberapa fail dokumen kerja.
Meskipun tidak mengalami kerugian besar, mangsa kecewa kerana telah kehilangan dokumen penting berkaitan urusan kerjanya.
Difahamkan, suspek memecahkan tingkap kereta mangsa selepas terlihat sebuah beg di kerusi penumpang di hadapan.
Tidak memakai sebarang penutup muka mahupun topi keledar, identiti suspek terlihat di dalam rakaman tersebut.
Menurut mangsa yang dikenali sebagai Tuah Arbaein, 38, kejadian itu menimpa isterinya ketika sedang membuat urusan di bank.
"Isteri yang pandu kereta saya dan ketika kejadian dia berada dalam sebuah bank, jadi memang tak sedar langsung ada orang pecahkan tingkap.
"Memang tak ada duit pun dalam beg itu dan semua dokumen yang dia ambil penting kerana berkaitan urusan pejabat, jadi memang susahkan saya kerana perlu buat semula semua dokumen yang hilang.
"Saya tak ada rugi sangat tapi pencuri itu lagi rugi kerana curi beg yang bukan berisi duit," katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut mengenai kejadian tersebut, mangsa turut meluahkan rasa curiga berhubung kejadian itu kerana mendakwa tingkap keretanya gelap dan agak mustahil jika pencuri berkenaan boleh melihat beg tersebut daripada luar.
"Tingkap kereta saya sangat gelap dan boleh kata agak mustahil pencuri itu boleh nampak beg di kerusi penumpang hadapan.
"Nasib baik ada kamera dashcam dan rupa pencuri itu dapat dirakam sebagai bukti untuk siasatan polis.
"Saya tiada musuh, dan pencuri itu memang saya tidak kenal, kalau tidak memang dah lama saya cari dan belasah dia," tambahnya.
Difahamkan Tuah telah membuat laporan polis berhubung kes tersebut dan pihak polis telah mengambil segala bahan bukti dan keterangan untuk siasatan lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram