Bekas suami penyanyi dangdut popular sudah kena cekup di Setapak, disyaki dera isteri baharu


  • 112
  • Sabtu, 19 Nov 2022

Suspek (tidak berbaju) direman selama empat hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan.

SEORANG lelaki tempatan ditahan kerana disyaki mendera isterinya di sebuah unit kondominium di Batu 9, Cheras, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek berusia 58 tahun itu ditahan di Setapak pada pukul 4.35 pagi pada Sabtu.

Jelasnya, siasatan mendapati isterinya berusia 45 tahun dipukul dan ditendang oleh suspek sehingga menyebabkan badannya cedera.

"Suspek turut menarik rambutnya dan menendang kepalanya menyebabkan dia melarikan diri dari rumah.

“Pembantu rumah mereka dan anak perempuan mereka berusia tujuh tahun serta pemandu suspek menyaksikan kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Mohd Zaid, mangsa menerima rawatan awal di hospital dan disahkan mengalami kecederaan akibat pukulan di kedua-dua belah mata, kepala, kaki dan belakang badan.

“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan peras ugut,” katanya.

Suspek turut direman selama empat hari sehingga 22 November untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2017.

Mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Rahmat Adnan di 014- 5156933 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu Majoriti melaporkan video tular berdurasi satu minit tujuh saat itu menunjukkan seorang lelaki tidak berbaju, dipercayai bekas suami penyanyi dangdut popular 90-an dirakam menarik rambut isteri baharunya itu sebelum mengheretnya.

Mangsa kemudian dipukul dan ditendang beberapa kali sementara seorang kanak-kanak turut berada di tempat kejadian menangis selain beberapa kali kedengaran merayu memohon maaf.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram