Kerajaan Perpaduan gunakan SPRM sebagai 'senjata', dakwa Ketua Penerangan Bersatu


  • Politik
  • Khamis, 09 Mac 2023

Razali antara pemimpin PN yang hadir di ibu pejabat SPRM pada Khamis.

SEAWAL pukul 10.30 pagi, beberapa pemimpin parti Perikatan Nasional (PN) sudah mula hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, bagi memberi sokongan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis.

Bekas menteri Kabinet, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; serta Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris antara pemimpin yang hadir ketika solidariti itu.

Selain daripada pemimpin PN, laungan 'bangkit! bangkit!', 'lawan kezaliman' dan 'lawan Anwar’ juga sudah kedengaran dalam kalangan penyokong parti tersebut.

Mengulas lanjut berhubung tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan kepada Muhyiddin, Razali mendakwa, SPRM di bawah kerajaan Kerajaan Perpaduan ketika ini melakukan tuduhan tanpa laporan lengkap.

"SPRM di bawah kerajaan Malaysia Madani sekarang buat tuduhan dan tangkapan tanpa laporan lengkap, jadi saya lihat ia merupakan satu kesalahan yang perlu diperbetulkan.

"Kerajaan Perpaduan menggunakan SPRM sebagai 'senjata' untuk mereka menangkap dan menjatuhkan ahli potitik yang memberikan kekangan kepada mereka.

"Ia memang satu tindakan politik yang sengaja dilakukan bagi memburukkan pihak tertentu, terutamanya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang,” dakwanya di ibu pejabat SPRM pada Khamis.

Ketika ditanya sama ada lebih ramai lagi pemimpin Bersatu yang akan ditahan oleh SPRM, beliau berkata bahawa, ia satu perkara yang mungkin akan terjadi namun masih belum dapat dipastikan buat masa sekarang.

"Saya tak tahu berkenaan hal itu, tetapi dengan tangkapan yang dibuat tidak ada sebarang laporan polis dan kenyataan daripada SPRM, saya jangkakan lebih ramai lagi yang akan ditangkap.

"Tetapi, saya tidak tahu buat masa sekarang dan berharap ia tidak akan berlaku pada masa akan datang," jelasnya.

Khabar angin mengatakan Muhyiddin akan didakwa tersebar sejak beberapa minggu lalu, selepas bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke mahkamah pada 21 Februari lepas.

Namun, setakat ini, masih belum ada sebarang khabar berita dan laporan diterima daripada pihak SPRM berhubung dakwaan tersebut.

Dalam pada itu, memetik laporan Bernama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak campur tangan dalam urusan SPRM berhubung Muhyiddin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram