'I want to build a galaxy of stars', mantra Shahrizat antara 7 taruhan kembali rebut Ketua Wanita Umno


  • Politik
  • Selasa, 07 Mac 2023

Shahrizat ketika menghadiri Perhimpunan Agung Umno pada 2016.

SELEPAS menyepi seketika daripada dunia politik, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kini kembali aktif, apabila sekali lagi bakal bertanding merebut jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan parti yang akan berlangsung bulan ini.

Keputusan itu dibuat selepas seramai 147 ketua Wanita Umno bahagian di seluruh negara dilapor telah bersemuka dengan Shahrizat secara memintanya menerajui semula sayap wanita parti itu.

Lantaran itu, bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu telah menyerahkan kertas pencalonannya di Ibu Pejabat Umno, sekali gus menyaksikannya pertembungan satu lawan satu dengan penyandang yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Noraini yang juga anak jati Parit Sulong itu dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi dalam barisan Kabinet di bawah pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain pernah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dari 2019 hingga 2020.

Meskipun sudah hampir lima tahun tidak berkecimpung dalam pentas politik, namun orang ramai tidak boleh memandang rendah akan kebolehan Shahrizat dalam menerajui semula sayap wanita Umno.

Berikut beberapa kelebihan lain dimiliki Shahrizat yang dilihat mampu memberi saingan kepada Noraini menjelang pemilihan Umno kali ini:

1) Gaya kepimpinan

file6za0ttsloracx6l6dqp

Shahrizat (tengah) ketika menghadiri mesyuarat Exco Wanita Umno pada Mac 2018.

Ketika menggalas tugas sebagai Ketua Wanita Umno pada 2009 hingga 2018, Shahrizat dilihat bukan sahaja sentiasa bergerak dalam pasukan, malah percaya bahawa penglibatan lebih ramai wanita dalam membuat keputusan bersama akan menjadikan wanita Umno memiliki satu entiti yang inklusif dan diupayakan.

Impian atau mantra Shahrizat ketika menjadi Ketua Wanita Umno sebelum ini: "I want to build a galaxy of stars!", merupakan antara sebab bilangan wanita yang dilantik menjadi ketua setiausaha dalam barisan kepimpinan kerajaan dan Umno meningkat selain suara kaum Hawa lebih didengari di pelbagai peringkat.

2) Hubungan sesama ahli politik

Shahrizat pernah berkhidmat di bawah kendalian tiga Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan Datuk Seri Najib Razak.

Dalam setiap tempoh tersebut, beliau memperkasa peranan wanita dengan lebih kuat dalam bidang politik dan pentadbiran negara.

Bukan itu sahaja, Shahrizat mempunyai hubungan politik yang baik dengan pemimpin wanita dari parti-parti lain seperti Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Aiman Athirah Sabu (Amanah), Nuridah Mohd Salleh (PAS) dan pemimpin-pemimpin wanita di dalam parti komponen BN.

Kematangan beliau menentukan perjuangan untuk wanita Malaysia terbela, sekali gus membolehkannya bekerjasama dengan baik dengan pemimpin-pemimpin wanita lain bagi memberi manfaat kepada rakyat.

3) Mesra ahli Wanita Umno

Semasa Shahrizat menjadi Ketua Wanita Umno, beliau memastikan dirinya turun padang ke 191 Bahagian untuk mendengar sendiri buah fikiran dan isu-isu yang dihadapi oleh wanita Umno di akar umbi.

Begitu juga ketika menjadi Ketua Wanita BN, beliau melakukan jelajah di hampir keseluruhan kawasan Parlimen Sarawak dan kawasan-kawasan bukan majoriti Melayu.

Lebih mesra disapa Kak Ijat, wanita kelahiran Pulau Pinang ini juga sinonim dengan sifat menyantuni setiap wanita yang ditemui, serta meluangkan masa dan perhatian menyentuh hati ahli wanita.

Sentuhan mesra dan kesediaan beliau meluangkan masa bersama wanita menjadi satu 'trademark' yang dirindui ramai ahli wanita Umno.

4) Keperibadian

file6ski1jilom14ewtydwa

Shahrizat bergambar bersama penyokong-penyokongnya pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016.

Sesiapa sahaja yang mengenali Shahrizat pasti sedia maklum bahawa, beliau merupakan seorang yang tegas dan nekad dalam setiap perkara yang diperjuangkan.

Ini kerana beliau tidak akan memperjuangkan sesuatu perkara atau isu yang tidak relevan atau mustahil untuk dicapai.

Selain itu, Shahrizat merupakan seorang yang dikenali amat menghormati pemimpin dan institusi kepimpinan. Meskipun adakalanya terdapat percanggahan pendapat, beliau percaya untuk memilih jalan penyelesaian secara kekeluargaan, selagi mana sesuatu perbincangan boleh berlaku.

Di samping itu, beliau juga terkenal sebagai seorang yang positif, tidak suka menggunakan 'negative connotation' dalam penulisan mahupun ucapan, kerana percaya ia boleh melemahkan semangat dan mewujudkan aura negatif.

5) Visi

file6xv2heuhm2flmzw9mq0

Shahrizat (tiga dari kiri) mahu kegemilangan wanita Umno dimartabatkan.

Dengan visi memartabatkan kegemilangan wanita Umno, Shahrizat percaya mereka sarat dengan perjuangan yang kental, aktif dan perlu diberi penghormatan. Ini tidak kira wanita Umno di peringkat cawangan, bahagian, bandar, desa dan setiap kawasan.

Beliau berpendapat, setiap wanita Umno perlu bersikap bermaruah, berprinsip dan berkepimpinan dalam setiap tindakan.

Malah, Shahrizat juga mahu wanita Umno sentiasa memperkasa, bersuara dan relevan dalam parti dan negara.

6) Misi

Dalam pemilihan parti kali ini, Shahrizat mempunyai misi membangkitkan dan mengimarahkan semula kekuatan wanita.

Jelas beliau, Umno perlu mempunyai hala tuju yang jelas dan tepat bermula dengan penganjuran aktiviti dan program wanita secara konsisten, di peringkat cawangan dan bahagian.

Beliau juga mempunyai misi untuk menyusun dan menggerakkan semula wanita Umno sebagai nadi rakyat yang sentiasa bersiap-siaga mendengar, menyampai dan menjuarai isu rakyat dengan satu kuasa kolektif yang dijana melalui kerjasama semua pemegang taruh.

Selain itu, beliau juga mahu menentukan wujudnya kesepaduan di antara semua lapisan pemimpin wanita Umno, selain mewujudkan hala tuju yang jelas untuk mempersiapkan barisan pemimpin pelapis wanita Umno di setiap peringkat, yang mampu menggalas tugas dan tanggungjawab dalam landskap politik baharu.

7) Pengalaman dalam kerajaan dan korporat

file6skjr3nevpj1aigz248x

Shahrizat (tiga dari kiri) duduk bersama pemimpin-pemimpin Umno pada 2016.

Seawal 1995, beliau memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai serta dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan seterusnya sebagai menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat yang pertama pada 2001.

Sebelum itu, pada 1982, Shahrizat dilantik sebagai Ketua Wanita Umno Cawangan Kepong Baru, Bahagian Kepong dan pada 1993 pula menggalas tugas sebagai Exco Wanita Umno dan Ketua Wanita Umno Wilayah Persekutuan pada 1995.

Setahun kemudian, beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno manakala pada 2000 pula sebagai Naib Ketua Wanita Umno sebelum mula menerajui sayap parti itu pada 2009.

Untuk rekod, Shahrizat pernah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Majistret pada 1977, manakala pada 1979, beliau dilantik sebagai Penolong Peguamcara Perbendaharaan.

Beliau juga nerupakan wanita pertama di Malaysia yang dilantik sebagai Pengerusi di dua syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) iaitu di Island & Peninsular Berhad dan Austral Berhad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram