Dua faktor boleh cetus kejatuhan kerajaan Anwar, J-KOM PMO ada teguran tegas


  • Politik
  • Selasa, 07 Mac 2023

Dengan melihat kepada senario tersebut, kerajaan di bawah pimpinan Anwar yang terdiri daripada beberapa parti tidak seharusnya terlalu selesa dalam menanggapi kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi itu.

KEJAYAAN kerajaan untuk memperoleh sokongan kukuh majoriti dua pertiga di Parlimen ternyata belum mencukupi untuk menutup terus kemungkinan berlakunya perubahan pentadbiran sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Baru-baru ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, beliau menjangkakan bahawa kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal tumbang tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Marang itu ketika ditemui di Parlimen pada Isnin turut mengakui bahawa Perikatan Nasional (PN) sedang menjalankan usaha untuk 'menjatuhkan' kerajaan sedia ada.

Dengan mengambil kira perkembangan politik yang berlaku pasca PRU14, perubahan kerajaan sebelum tamat penggal lima tahun bukanlah mustahil untuk berlaku.

Malah, negara juga telah dipimpin oleh sebanyak tiga orang perdana menteri daripada parti yang berlainan hanya dalam tempoh empat tahun selepas pilihan raya pada 2018.

Segalanya bermula apabila Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad dijatuhkan oleh segelintir ahli Parlimen parti kerajaan menerusi satu rancangan yang dikenali sebagai 'Langkah Sheraton' pada awal 2022.

Kejatuhan kerajaan itu menyaksikan Dr Mahathir digantikan dengan Tan Sri Muhyiddin yang kemudiannya mewujudkan gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama Pas sebelum beliau turut diturunkan oleh Umno yang bertindak mengangkat Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menerajui negara.

Dengan melihat kepada senario tersebut, kerajaan di bawah pimpinan Anwar yang terdiri daripada beberapa parti tidak seharusnya terlalu selesa dalam menanggapi kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi itu.

Penganalisis politik dari Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development (JSC), Sunway University, Profesor Dr Wong Chin Huat menggariskan dua kemungkinan yang boleh menyumbang kepada kejatuhan kerajaan ketika ini:

1) Kedudukan blok Umno jadi penentu

KUALA LUMPUR, 18 Mac -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.UMNO bagi dokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjaga kerajaan sebaik-baiknya.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Peranan utama dimainkan Ahmad Zahid untuk menghalang PN membentuk kerajaan selepas PRU15 menjadi faktor menyebabkan pelantikannnya sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun sedang berdepan 47 pertuduhan rasuah.

Chin Huat berkata, secara zahirnya, gabungan kerajaan campuran dibentuk Anwar dilihat lebih rapuh daripada kerajaan PH sebelum ini walaupun ia mempunyai sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Pentadbiran kali ini terdiri daripada PH yang memiliki 82 kerusi, diikuti BN (30), dan baki 36 daripada beberapa parti dan calon bebas di negeri Timur Malaysia.

Katanya, kejayaan Anwar menyatukan gabungan bergantung kepada kepada Umno, yang mana Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, merupakan salah seorang anak didiknya ketika Anwar menjadi Timbalan Presiden Umno sebelum dipecat pada tahun 1998.

Dalam proses pembentukan kerajaan pasca PRU15 lalu, Ahmad Zahid dilihat menjadi individu utama menghalang PN yang memenangi 74 kerusi untuk membenuk kerajaan campuran bersama BN dan parti daripada Borneo.

Menurut Chin Huat, peranan dimainkan Pengerusi BN itu juga menjadi faktor menyebabkan pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun sedang berdepan 47 pertuduhan rasuah.

"Langkah Sheraton 2.0 hanya boleh berlaku jika Umno keluar daripada kerajaan. Itu akan menyebabkan gabungan Anwar berada dalam kedudukan tidak menentu.

"Jika kehilangan sokongan BN, Kerajaan Perpaduan akan hanya mempunyai enam kerusi lebih daripada majoriti mudah, menjadikannya terdedah kepada perpindahan sokongan atau sebarang ugutan daripada parti-parti Borneo," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, beliau berpandangan, Umno dilihat tidak memiliki sebab untuk meninggalkan kerajaan sekiranya hanya untuk menjadi parti ketiga terbesar di belakang PAS dan Bersatu di dalam PN.

Katanya, Umno juga boleh sahaja menggantikan Ahmad Zahid dengan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan atau pemimpin kanan lain dalam parti untuk mengisi jawatan kedua tertinggi kerajaan sekiranya Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didapati bersalah.

Chin Huat menjelaskan bahawa pemimpin Umno dan akar umbinya hanya berkemungkinan membuat pilihan keluar daripada kerajaan untuk menyertai PN sekiranya parti itu mula berasakan mereka kehilangan sokongan orang Melayu.

Menurut beliau, situasi itu boleh dilihat menerusi rentetan peristiwa yang berlaku sebelum gerakan Sheraton berlaku pada awal tahun 2020.

"Bersatu meninggalkan PH tiga bulan selepas kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

"Daripada perisitiwa ini, dapat disimpulkan bahawa ketika itu parti tersebut tidak dapat menahan serangan perkauman oleh Umno dan Pas terhadap PH yang disifatkan sebagai kerajaan anti-Melayu dan anti-Islam," ujarnya.

2) Kekuatan gelombang hijau dalam PRN

A motorcycle passing a road where party flags have been put up in anticipation of the impending Melaka state polls near Klebang. 09 Nov 2021 一CHAN TAK KONG/The Star

Chin Huat berkata, sekiranya PN berjaya memperluaskan apa yang dipanggil 'gelombang hijau' pada PRN tahun in, Anwar akan dilihat dengan imej sebagai perdana menteri yang hanya mendapat sokongan daripada bukan Melayu.

Chin Huat berkata, bagi PAS dan Bersatu, pilihan raya negeri bakal diadakan di enam negeri pada pertengahan tahun ini menawarkan peluang yang baik untuk membolehkan gabungan itu mencipta senario PRK Tanjung Piai kepada Umno.

Bagi tiga negeri majoriti pengundi Melayu di bawah PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, kekalahan Umno sememangnya dijangkakan berdasarkan keputusan dalam PRU15 peringkat persekutan yang diadakan November lalu.

"Medan perang sebenar adalah di tiga negeri pengundi bercampur dikuasai PH iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

"Ini adalah negeri di mana PH dan Umno akan membahagikan kawasan dan meletakkan calon bersama untuk mengumpulkan sokongan mereka," katanya.

Chin Huat berkata, sekiranya PN berjaya memperluaskan apa yang dipanggil 'gelombang hijau' dengan menggunakan pendekatan populisme agama dibawa PAS, Anwar akan dilabel sebagai perdana menteri yang hanya mendapat sokongan daripada bukan Melayu.

Katanya, perkembangan itu yang mungkin menjadi realiti sekiranya peratusan keluar mengundi rendah juga berpotensi menyebabkan Ahli Parlimen Tambun itu seakan-akan kehilangan keabsahan dalam kalangan pengundi di dalam negara yang masih dibayangi politik identiti Melayu dan Islam.

"Keadaan tersebut akan menyebabkan akar umbi Umno kemudiannya mungkin menuntut kerajaan menjadi lebih pro-Melayu sehingga meminggirkan kumpulan minoriti dan liberal dalam PH.

"Sebaliknya, jika kerajaan pimpinan Anwar enggan meminggirkan komuniti bukan Melayu, pemimpin dan akar umbi Umno yang panik mungkin akan menuntut parti keluar daripada kerajaan seperti yang akhirnya berlaku dalam Langkah Sheraton," menurut Chin Huat.

Beliau berkata, strategi PN untuk memainkan sentimen kedudukan politik orang Melayu juga dapat dilihat menerusi beberapa kritikan dilemparkan pemimpin gabungan itu terhadap kerajaan.

Sebagai contoh, Chin Huat berkata, walaupun kerajaan memperkenalkan dasar mengenakan cukai lebih tinggi pada golongan T20 dalam Belanjawan 2023, pimpinan PN membuat kritikan dengan menyifatkannya sebagai 'komunis', iaitu istilah yang dalam kontek politik Melayu mempunya konotasi lazimnya dikaitkan dengan 'penguasaan orang Cina'.

Chin Huat berkata, untuk menguruskan cabaran tersebut, Anwar perlu melakukan perubahan khususnya dalam pendekatannya terhadap amalan politik pilih kasih antara persekutan dan pentadbiran negeri bukan daripada parti kerajaan.

Katanya, hal itu antara lain melibatkan ketikdakadilan pengagihan peruntukan kepada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang dilihat menyebabkan ramai pengundi khususnya atas pagar mengambil sikap sangat partisan dalam penilaian politik.

"Untuk menarik sokongan pengundi atas pagar ini, sentimen dendam partisan perlu dikurangkan terlebih dahulu, dan Anwar perlu menghentikan amalan menganak tirikan pembangkang yang merupakan legasi pentadbiran zaman BN," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohammad Agus Yusoff menasihatkan Presiden PAS agar berhenti ‘mengigau’ untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Anwar.

Katanya, cubaan tersebut akan berdepan kesukaran kerana perdana menteri ketika ini memiliki sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Jelas Mohammad Agus, dalam sistem demokrasi, pertukaran kerajaan sepatutnya hanya dilakukan melalui pilihan raya.

"Selepas pilihan raya, semua parti perlu bekerjasama untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat dan negara. Nanti pilihan raya akan datang, serahlah semula mandat pada rakyat untuk membuat pilihan. Takkan itu pun tidak faham," tegasnya.

Beliau menambah, pembangkang juga seharusnya menghormati tidah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar semua pihak memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan semula ekonomi negara.

Ujarnya, kestabilan politik perlu dikekalkan sehingga tempoh pilihan raya akan datang.

"Buat masa sekarang jadilah pembangkang yang konstruktif untuk membangunkan negara," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram