Selepas rumah anak diserbu SPRM, pemimpin kanan Perikatan akan ditahan dan didakwa dalam masa terdekat


  • Primer
  • Rabu, 08 Mac 2023

SPRM dikatakan akan membuat tangkapan terhadap seorang pemimpin kanan dalam Perikatan Nasional.

SEORANG pemimpin kanan dalam Perikatan Nasional berkemungkinan akan ditangkap dan didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat menurut sumber.

Sumber itu juga berkata bahawa, pemimpin yang merupakan ahli parlimen itu mungkin akan didakwa atas dakwaan tuduhan rasuah berkaitan dana parti.

"Pegawai SPRM menyerbu rumah anaknya pada Isnin malam. Kami kini bersiap sedia kerana menerima maklumat bahawa mereka akan menahan pemimpin itu tidak lama lagi untuk didakwa.

“Beliau berkemungkinan akan ditahan malam Khamis atas dakwaan berhubung dana parti baru-baru ini,” kata sumber itu.

Pemimpin tersebut dan SPRM masih belum menjawab pertanyaan mengenai perkara itu.

SPRM sedang menyiasat dakwaan kononnya kontraktor terpilih memasukkan RM300 juta ke dalam akaun parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia sebagai dana sebelum pilihan raya umum lalu.

Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan perkara itu sambil mendakwa ia merupakan fitnah politik oleh mereka yang berniat mencemarkan nama baiknya sebagai bekas perdana menteri.

Pada 18 Februari, Muhyiddin memberitahu media bahawa SPRM mengesahkan beliau bukan suspek dalam siasatan yang sedang dijalankan apabila beliau dipanggil untuk memberi kenyataan.

Muhyiddin juga menamakan bekas menteri kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai orang yang meluluskan syarikat mengambil bahagian dalam program Jana Wibawa, yang diadakan semasa pandemik Covid-19 untuk membantu kontraktor bumiputera.

Tengku Zafrul juga mengakui beliau dipanggil oleh SPRM sebagai saksi.

Sementara itu, pada 2 Mac, Bendahari Bersatu Datuk Seri Mohd Salleh Bajuri direman atas permintaan SPRM selama dua hari dan dibebaskan pada 3 Mac.

Sebelum itu, bekas ketua penerangan Bersatu yang juga ahli parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan timbalan ketua bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad didakwa di mahkamah.

Mereka didakwa mengumpul dana daripada penganugerahan projek semasa Muhyiddin memegang jawatan Perdana Menteri kelapan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram